Kerusi Majlis Hak Asasi: Jangan malukan M'sia di PBB, kata Ambiga


KERAJAAN diingatkan supaya tidak memalukan negara di Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dengan membiarkan ketaksuban dan perkauman berkembang di negara ini.

Aktivis hak asasi berkata, Malaysia yang dipilih menduduki satu daripada 18 kerusi Majlis di PBB bagi penggal 2022-2024 tidak boleh dianggap sebagai pengiktirafan terhadap rekod hak asasi manusia negara ini

Presiden Persatuan Hak Asasi Manusia (Hakam) dan bekas presiden Majlis Peguam Ambiga Sreenevasan berkata advokasi hak asasi manusia di Malaysia mesti bermula di negara sendiri.

"Mungkin patut beri taklimat kepada semua Ahli Parlimen mengenai maksud hak asasi manusia. PAS terutamanya. Dan cuba jangan memalukan kita di Majlis Hak Asasi Manusia PBB dengan membiarkan ketaksuban dan perkauman berkembang di negara sendiri.

"Mulakan dengan meneruskan konvensyen antarabangsa. Singkatnya, berikan contoh yang baik," kata dalam ciapan Twitter.

Selain Malaysia, majlis berkenaan turut menyenaraikan negara lain yang menjadi anggota antaranya Argentina, Cameroon, Finland, India, Qatar, Somalia, Emiriah Arab Bersatu dan Amerika Syarikat.

Perdana Menteri, Ismail Sabri menganggap ia sebagai satu kejayaan hebat dan pengiktirafan kepada status hak asasi manusia.

K'jaan dituntut tunjuk contoh baik
Sementara itu dipetik laporan Malaysiakini pula, Ambiga menjelaskan bahawa anggota parlimen yang pernah menentang untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) dan Statut Rom kini berada dalam kerajaan dan telah secara aktif meminta keahlian dalam Majlis Hak Asasi Manusia PBB.

"Oleh itu, adalah menjadi kewajipan mereka untuk mendidik diri mereka sendiri mengenai hak asasi manusia dan berhenti memfitnah hak asasi manusia," katanya dipetik.

Post a Comment

0 Comments