Permohonan cabar bubar DUN Melaka serentak hari penamaan PRN


 


PERMOHONAN bagi izin semakan kehakiman bagi menghalang pilihan raya negeri (PRN) bakal didengar pada 8 November depan.

Tarikh itu yang ditetapkan Mahkamah Tinggi adalah serentak dengan hari penamaan calon bagi 28 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan.

Terdahulu, bekas Ketua Negeri Melaka, Adly Zahari mahu Mahkamah Tinggi membatalkan writ yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 18 Okt lalu bagi mengadakan pRN pada 20 Nov nanti.

Dalam permohonan difailkan minggu lalu, penyandang bagi DUN Bukit Katil itu menamakan penggantinya yang kini Ketua Menteri “caretaker” Sulaiman Md Ali, bekas Speaker DUN Ab Rauf Yusoh, SPR dan Yang Dipertua Negeri Mohd Ali Rustam sebagai responden.

Adly memohon perintah mahkamah bahawa nasihat Sulaiman kepada Yang Dipertua Negeri dan pengumuman pembubaran DUN, ditangguhkan sehingga perkara itu diputuskan oleh mahkamah.

Dalam afidavit menyokong permohonannya, beliau berkata Sulaiman tidak boleh menasihati Yang Dipertua Negeri membubarkan Dewan untuk memberi laluan bagi PRN diadakan, kerana beliau telah hilang keyakinan majoriti ADUN.

Sulaiman dakwanya hanya mempunyai sokongan 11 wakil selepas empat ADUN menarik sokongan mereka terhadapnya, manakala HARAPAN kemudian memiliki majoriti 13 daripada 28 kerusi DUN di negeri itu.

Sehubungan itu Adly juga mahu deklarasi pembubaran pada 4 Okt lalu, yang diwartakan keesokannya, terbatal dan tidak sah atas alasan dibuat tanpa pengetahuan Yang Dipertua Negeri.

HARAPAN persoal tindakan bubar DUN
Adly juga mahu perisytiharan pembubaran DUN oleh Yang Dipertua Negeri dibatalkan segera.

Sementara itu, peguam mewakili Adly, Razlan Hadri Zulkifli berkata permohonan izin mahkamah itu akan didengar di hadapan Hakim Noorin Badaruddin pada 9 pagi.