Anwar hantar usul, mahu isu Petronas jual aset dibahaskan


KETUA
Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan usul  ke Dewan rakyat bagi membahaskan laporan bahawa Petronas telah menjual aset gas di Azerbaijan dengan nilai hampir RM10 bilion.

Berdasarkan salinan surat yang dihantar kepada Speaker, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson mengemukakan usul itu di bawah peraturan mesyuarat 18 (1) dan 18 (2).

"Saya telah mengemukakan suatu usul kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat di bawah Peraturan Mesyuarat 18 (1) dan 18 (2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat seperti berikut:

"Bahawa Dewan yang bersidang pada hari ini merundingkan laporan bahawa Petronas telah menjual aset gas di Azerbaijan dengan harga hampir RM10 bilion berikutan desakan kerajaan menaikkan bayaran dividen Petronas sebanyak RM25 bilion kepada kerajaan bagi tahun 2021," kata Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu dalam kenyataan.

Tambah beliau  Petronas sebelum ini mengalami defisit berikutan pembayaran dividen berlebihan sejak 2018 yang memaksa syarikat petroleum negara itu menjual aset atau meminjam lebih banyak dana luar negara bagi menampung aliran tunai.

Justeru, hal membabitkan syarikat minyak dan gas negara itu perlu dibahaskan secara teliti di Parlimen.

“Ini adalah perkara mendesak yang perlu perhatian dan perbahasan terperinci serta menyeluruh di Dewan Rakyat.

“Saya berharap usul ini mendapat pertimbangan sewajarnya dari Yang di-Pertua Dewan Rakyat,” tegas Anwar lagi.

Sebelum ini Petronas dilapor menjual keseluruhan 15.5 peratus kepentingannya dalam projek gas asli Shah Deniz di sektor Azerbaijan di Laut Kaspia kepada syarikat minyak dan gas Rusia LUKOIL dengan harga RM9.41 bilion (AS$ 2.25 bilion).

Isu Petronas perlu segera dibahaskan
LUKOIL dalam satu kenyataan berkata penyelesaian transaksi itu bergantung pada penentuan syarat-syarat sebelumnya, termasuk persetujuan oleh SOCAR, syarikat minyak negara Azerbaijan.

Menurut laporan Theedgemarkets, ekuiti LUKOIL dalam projek tersebut akan meningkat daripada 10 peratus kepada 25.5 peratus setelah selesai penjualan.

Post a Comment

0 Comments