LKAN 2020 sahkan tanggapan bahawa PN kerajaan gagal - Razak


SEORANG pemimpin Pemuda Pakatan Harapan (HARAPAN) menyifatkan Laporan Ketua Audit Negara 2020 (LKAN2020) mengenai penyata kewangan Kerajaan Persekutuan serta pengauditan pematuhan kementerian dan jabatan persekutuan yang dibentangkan merupakan bukti jelas kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
 
Razak Ridzuan yang merupakan Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional berkata, laporan itu jelas menunjukkan kerajaan pimpinan Mahiaddin Md Yassin yang turut disertai barisan Nasional (BN) dan PAS itu tidak cekap dalam mengurus tadbir negara.

Razak sebelumnya merujuk isu pembayaran tidak teratur yang menyebabkan kerugian wang awam dan pembaziran ketika pentadbiran Ahli Parlimen Pagoh itu.

Media sebelum ini memetik LKAN bahawa negara kerugian RM620 juta akibat ketidakpatuhan kementerian dan kerajaan Persekutuan ketika itu dalam pengurusan kewangan.

"Paling mengejutkan adalah sejumlah RM499.18 juta pembayaran tidak teratur melibatkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang diterajui Perdana Menteri," katanya.

Dalam masa sama, ujarnya, kerugian wang awam sebanyak RM104.79 juta seperti didedahkan juga adalah satu nilai yang cukup besar dalam keadaan negara yang ditekan dengan masalah ekonomi.

“Malah, sebanyak RM4.79 juta pembaziran melibatkan barang yang lewat terima dan tidak dipasang untuk Istana Budaya sesuatu yang amat dikesali.

Razak turut mempersoalkan tindakan kerajaan membuat hutang baru bagi membayar hutang sedia ada.

“Kebergantungan kerajaan membuat hutang baru untuk membayar hutang yang telah matang dengan nilai sebanyak RM90.58 bilion bakal membawa masalah kepada negara.

“Liabiliti negara juga membimbangkan dengan nilai yang dilaporkan sebanyak RM1.187 trilion,” kata Razak dalam satu kenyataan.

Rakyat perlu buka mata, akui PN lemah


Justeru tambahnya, rakyat Malaysia membuka mata dan melihat betapa lemahnya kerajaan gabungan PN-BN hari ini dalam mengurus ekonomi dan dana rakyat.


Pendedahan dalam laporan itu menurutnya telah melengkapkan status “Kerajaan Gagal” seperti yang ditanggapi rakyat sebelum ini.

Post a Comment

0 Comments