BEKAS Ketua Menteri Melaka Idris Haron menepis dakwaan Pengerusi Umno Melaka Ab Rauf Yusoh bahawa beliau menjatuhkan kerajaan pimpinan Sulaiman Md Ali kerana mahu dilantik semula kejawatan itu.
Dipetik laporan FMT, Idris sebaliknya mendakwa Ab Rauf sebenarnya mahukan jawatan tersebut.
Idris berkata, beliau terlibat dalam kejatuhan kerajaan negeri itu bersama tiga ADUN lain kerana negeri itu tidak ditadbir dengan baik dan bukan kerana jawatan.
“Saya tidak menjatuhkan kerajaan negeri untuk menjadi Ketua Menteri semula. Saya hanya mahu menghalang negeri daripada ditadbir dengan teruk,” katanya.
Tambah bekas ADUN Sungai Udang itu lagi, ketika Pakatan Harapan (HARAPAN) ditumbangkan sebelum ini, Rauf dakwanya telah menghalang beliau dari sekali lagi menjadi Ketua Menteri.
“Mengikut konvensyen, Ketua Pembangkang akan menjadi Ketua Menteri sekiranya berlaku pertukaran kerajaan. Semasa Pakatan Harapan menjadi kerajaan, saya adalah Ketua Pembangkang.
“Jadi, sebagai Ketua Pembangkang, saya sepatutnya menjadi KM (semasa HARAPAN tumbang),” katanya menurut portal itu.
Rauf dakwanya turut bertindak mengetepikan pemimpin kanan Umno lain di negeri itu dan menyokong ADUN Lendu Sulaiman Md Ali untuk jawatan itu kerana “Sulaiman akan mendengar kata Rauf”.
“Rauf sebenarnya adalah Ketua Menteri de facto,” tambahnya.
Rabu lalu, Rauf mendakwa Idris “dipermainkan” oleh DAP untuk menjadi Ketua Menteri semula.
Menurut Rauf, Idris telah berbincang dengan pemimpin Pakatan Harapan (PH) tetapi kepimpinan tertinggi DAP tidak bersetuju beliau (Idris) menjadi Ketua Menteri sekali lagi.
Idris dakwa Melaka tak ditadbir dengan baik |
Katanya, pertemuan itu dilakukan bertujuan menyelamatkan negeri berkenaan di samping menawarkan beberapa solusi tetapi ditolak parti tersebut.
0 Comments