BEKAS Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menggesa supaya kerajaan mengarahkan Bank Negara Malaysia (BNM) membuka siasatan penuh terhadap Kertas Pandora yang membangkitkan persoalan berkenaan aliran wang haram keluar dari Malaysia.
Melalui satu kenyataan, Setiausaha Agong DAP itu berkata, BNM perlu melakukan siasatan penuh terhadap pendedahan itu bagi menunjukkan bahawa Kerajaan Malaysia bukan sahaja tidak mempunyai apa-apa yang perlu disembunyikan tetapi tiada percubaan menutup Pandora Papers yang melibatkan rakyat Malaysia dan aliran wang haram yang dianggarkan berjumlah AS$33.7 bilion itu.
“Terdapat lebih daripada 330 ahli politik yang didedahkan oleh Pandora Papers daripada 90 negara, yang malangnya termasuklah beberapa rakyat Malaysia yang terkenal.
“Pandora Papers adalah sebahagian daripada skandal aliran wang haram (IFF) yang didefinisikan oleh Global Integrity Report (GFI) sebagai dana yang diperoleh, dipindahkan, dan/atau digunakan secara haram merentas sempadan antarabangsa.
“Dana itu datangnya daripada sumber kegiatan jenayah dan rasuah,” katanya.
Isu berkaitan Kertas Pandora menarik perhatian ramai susulan beberapa ahli politik dan orang kaya Malaysia dikaitkan dengan pendedahan itu.
Sebagai rekod, Kertas Pandora adalah dokumen yang dibocorkan daripada 14 penyedia perkhidmatan yang membantu individu menubuhkan entiti luar pesisir, kebanyakannya berada di syurga cukai (tax haven).
Pusat Kewartawanan Penyiasatan Antarabangsa yang berpusat di Washington DC memperoleh dokumen tersebut yang kemudian memberikan akses kepada rakan kongsinya di seluruh dunia, termasuk portal tempatan Malaysiakini.
Difahamkan, pendedahan oleh Pandora Peper itu telah menyebabkan Malaysia disenaraikan dalam senarai kelabu Kesatuan Eropah (EU) sebagai negara mengelak cukai, terbabit penipuan cukai, pengubahan wang dan menyembunyikan sumber kekayaan.
Malaysiakini telah menamakan segelintir rakyat Malaysia dalam Kertas Pandora itu termasuk bekas menteri kewangan dan tokoh korporat Daim Zainuddin, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.
Sementara itu Guan Eng menegaskan bahawa pengubahan wang haram masih menjadi masalah serius dan GFI menganggarkan bahawa nilai tahunan IFF berkaitan perdagangan di dalam dan di luar negara membangun berjumlah, secara purata, sekitar 20 peratus daripada nilai keseluruhan perdagangan negara tersebut dengan ekonomi maju.
“Menurut laporan 10 tahun terbaru oleh GFI yang bertajuk Aliran Wang Haram ke dan daripada 148 Negara Membangun: 2006-2015, Malaysia kerugian antara AS$22.9 bilion (RM94.22 bilion) dan AS$33.7 bilion (RM138.66 bilion) dalam aliran keluar wang haram dari tahun 2006 hingga 2015,” katanya lagi.
K'jaan perlu buktikan tak sembunyi apa-apa |
“Bagi membuktikan bahawa tidak ada yang perlu disembunyikan, siasatan yang dijalankan perlu menghukum mereka yang terlibat dalam IFF dan juga mengesyorkan langkah-langkah ketat untuk mencegah aliran wang haram keluar daripada Malaysia dan bagaimana meningkatkan ketelusan, akauntabiliti dan tadbir urus yang baik,” katanya lagi.
0 Comments