KEPUTUSAN kerajaan membatalkan keperluan ujian pengesanan Covid-19 bagi pelancong ke Langkawi dikritik pemain industri pelancongan.
Timbalan Pengerusi Biro Undang-Undang, Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA) Norazly Rosly berkata, kerajaan tidak sepatutnya membatalkan keperluan itu terutama kadar jangkitan akibat pendmik itu masih membimbangkan.
Justeru tegasnya, ujian pengesanan itu dilihat masih perlu bagi mengelakkan penularan jangkitan Covid-19 di pulau pelancongan itu.
“Kami berpendapat kejayaan gelembung pelancongan Langkawi yang bermula 16 September lalu adalah disebabkan langkah mewajibkan ujian pengesanan Covid-19.
“Justeru, kami tidak bersetuju dengan pembatalan ujian itu. Kami juga bimbang keputusan kerajaan itu akan menjejaskan keyakinan orang ramai untuk melancong ke Langkawi.
“Kerajaan perlu mengambil langkah bertanggungjawab dengan memastikan pelancong ke Langkawi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, termasuk melakukan ujian pengesanan awal,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Pada Selasa, Kementerian Kesihatan (KKM) membuat keputusan menghentikan keperluan ujian pengesanan Covid-19 sebelum pelancong memasuki Pulau Langkawi, berkuat kuasa serta-merta.
Perkara itu dimaklumkan menterinya, Khairy Jamaluddin dengan alasan hanya 0.14 peratus atau 216 pelancong daripada 54,341 yang memasuki kawasan gelembung pelancongan itu dikesan positif wabak berkenaan.
K'jaan mesti ambil langkah bertanggungjawab |
Sebagai rekod, ketika projek rintis gelembung pelancongan Langkawi bermula 16 September, semua pelancong diwajibkan menjalani ujian pengesanan Covid-19 sebelum memulakan perjalanan ke pulau itu.
0 Comments