SAYAP Pemuda Pakatan Harapan (HARAPAN) dan MUDA membuat laporan polis bagi menggesa siasatan terhadap dakwaan dalam Kertas Pandora yang didedahkan baru-baru ini dipercepatkan.
Ketua Pemuda HARAPAN, Howard Lee dalam satu sidang media siang tadi menganggap dakwaan berkaitan aliran wang haram keluar dari Malaysia oleh dokumen itu seperti menconteng arang ke wajah kedaulatan negara.
Dakwaan dalam Kertas Pandora mencemarkan integriti negara dan tidak boleh dipandang ringan pihak berkuasa.
Justeru siasatan secara telus dan teliti perlu disegerakan terhadap berkaitan RM1.8 trilion dari 2005 hingga 2015 dialir keluar secara haram seperti yang dilaporkan Global Financial Integrity (GFI) perlu disegerakan.
“Kami mahu siasatan dipercepatkan berhubung dakwaan Kertas Pandora yang mendedahkan pelbagai aktiviti kewangan luar pesisir dalam usaha menyembunyikan aset berjumlah berbilion ringgit,” katanya pada sidang media di Kota Kinabalu itu.
Turut hadir Ketua Pemuda UPKO, Felix Joseph Saang; Ketua Pemuda DAP Sabah, Phoong Jin Zhe; Ketua Pemuda Amanah Sabah, Rendy Ismail dan Pengerusi MUDA Sabah, Shahrizal Denci.
“Implikasinya cukup serius dan wajib diambil peduli kerana kita tidak boleh terima Malaysia kini bergelumang dengan manipulasi harta negara untuk kepentingan peribadi.
“Individu yang disenaraikan dalam Kertas Pandora terdiri daripada tokoh politik, ahli keluarga mereka dan taikun korporat yang menconteng arang ke wajah seluruh rakyat Malaysia atas tindakan hina ini. Ia seperti meludah ke wajah kedaulatan negara.
Failkan laporan supaya siasatan disegerakan |
Sementara itu Pemuda HARAPAN dan MUDA mendesak supaya dakwaan dalam Kertas Pandora dibahaskan di Parlimen dan Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan bagi menyiasat impak serta implikasinya terhadap rakyat.
0 Comments