Sudah masa ubah dasar perumahan golongan B40


PERUMAHAN di Malaysia perlu dilihat sebagai hak asasi manusia dan bukan komoditi, kata wakil Marhaen Urban Settlers Network, E Parames.

Parames berkata begitu sebagai ahli panel dalam forum  festival pembasmian kemiskinan anjuran Gabungan Marhaen yang dikenali sebagai Himpunan Marhaen baru-baru ini.

Dipetik laporan Malaysiakini, beliau mengemukakan enam tuntutan penting yang dibuat oleh Marhaen Urban Settlers Network yang antaranya supaya kerajaan mewujudkan dasar bagi membina rumah mampu milik di bawah RM100,000.

Kumpulan yang ditubuhkan sebagai platform bagi kumpulan akar umbi untuk berkongsi pengalaman mereka dalam isu-isu semasa pandemik Covid-19 termasuk isu perumahan turut menuntut lebih banyak rumah sewa PPR dibina,  pengusiran paksa dihentikan, menghentikan lelongan rumah golongan marhaen, menyediakan dana pembinaan rumah B40 / M40, dan meminta majlis perbandaran mengambil alih penyelenggaraan flat kos rendah.

Seorang lagi ahli panel pada forum itu, Gregory Ho Wai Son turut menggesa supaya dasar perumahan yang sesuai bagi menampung keperluan golongan B40 diwujudkan.

Penyelidik bersekutu Khazanah Research Institute (KRI) itu turut membangkitkan beberapa kelemahan pada dasar perumahan yang ada yang antaranya kekurangan perumahan kos rendah yang berkualiti, kelemahan standard perumahan di Malaysia dan tempoh pinjaman perumahan yang menekan pembayar.

Memetik kajian KRI mengenai Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kuala Lumpur, Ho berkata kajian itu mendapati standard perumahan PPR di bandar ini, "pada tahap tertentu", adalah tidak memuaskan.

Ia termasuk dari ukuran standard semua unit PPR iaitu sekitar 650 kaki persegi dimana purata penghuni di setiap unit antara empat hingga enam orang.

"Soalannya adalah: apakah ini benar? Adakah menyediakan rumah untuk orang kurang mampu seluas 650 kaki persegi yang mana didiami kira-kira enam orang sesuatu yang patut?" katanya dipetik.

Sebagai langkah menangani isu itu, beliau turut menggesa supaya pendekatan dilakukan negara jiran Singapura dikaji dan digunapakai di negara ini jika bersesuaian.

Perlu dasar perumahan lebih 'mesra' golongan B40
"Jika anda melihat flat HDB Singapura, mereka memiliki berbagai jenis pelan rumah. Sekiranya duduk bujang dan sedang cari kerja pertama kamu, sebuah rumah mampu milik dengan dua bilik mungkin sesuai.

"Dan dalam lima tahun, jika keluarga kamu bertambah besar, kamu boleh memilih untuk mencari rumah yang lebih besar yang sesuai untuk kamu diami," katanya dengan harapan perubahan dapat dilakukan supaya keperluan perumahan golongan B40 dapat diselesaikan.

Post a Comment

0 Comments