BEKAS Menteri hal ehwal agama, Mujahid Yusof Rawa menggesa kerajaan menggubal “dasar arak” agar isu berkaitan minuman keras itu tidak menjadi polemik berterusan.
Mujahid dipetik berkata, langkah tersebut perlu bagi menjaga “sensitiviti umat” Islam di negara ini.
Pendirian ini dinyatakan Mujahid susulan isu pengeluar arak berjenama Timah yang hangat diperkata kebelakangan ini.
“Pengajaran daripada isu arak berjenama Timah ialah perlu ada ketegasan pemerintah memelihara nama baik Islam dan kedudukannya dalam negara,” katanya di Facebook.
Mujahid berkata dasar berkaitan minuman keras itu wajar merangkumi lima perkara iaitu:
- Melarang umat Islam daripada terlibat dalam semua aktiviti pemprosesan, jual beli, pengangkutan, hidangan dan yang berkaitan.
- Sebarang promosi arak dan kaitannya dilarang sama sekali bagi menghormati Islam sebagai Agama Persekutuan.
- Sensitiviti umat Islam perlu dipelihara dalam semua aktiviti arak dalam kalangan bukan Islam termasuk penganjuran majlis, pemilihan jenama dan simbol yang boleh menimbulkan kemarahan umat Islam.
- Isu hak bukan Islam dalam soal arak dan kaitannya perlu dijauhi daripada eksploitasi politik bagi meraih sokongan dan menimbulkan kebencian.
- Penguatkuasaan undang-undang sama ada peringkat kerajaan tempatan mahupun di peringkat persekutuan perlu diperketatkan dan dibaiki supaya gejala kesan arak dapat dikawal dan ditangani dengan berkesan.
Sementara itu tegas Mujahid, sekiranya dasar seperti dicadangkan itu diwujudkan dan dipatuhi, sudah tentu permohonan berkaitan permit pengeluaran arak itu akan ditolak sejak awal lagi bagi memelihara kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan
"Justeru isu berkaitan kelulusan jenama arak Timah tidak akan berlaku," tambahnya.
Mujahid gesa dasar berkaitan arak diwujudkan |
“Perdana Menteri dan khususnya Jemaah Menterinya perlu menjelaskan sikap supaya nama baik Islam di Malaysia tidak dicemari tanpa menidakkan hak bukan Islam dalam keperluan mereka.” katanya lagi.
0 Comments