TINDAKAN Pakatan Harapan (HARAPAN) negeri Melaka memanjangkan kes pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-14 ke mahkamah adalah supaya ia dapat dijadikan teladan dan rujukan sekiranya perkara seumpama itu berulang lagi di masa hadapan.
Pengerusi HARAPAN Melaka, Adly Zahari dipetik berkata ia adalah tanggungjawab mereka untuk menyemak keputusan itu yang telah membawa kepada ketidak stabilan kepimpinan di negeri tersebut.
“Kita tahu tanggungjawab dalam Perkara 19 (2) Perlembagaan Negeri itu (bahawa) membubarkan DUN adalah kuasa mutlak Tuan Yang Terutama Yang di-Pertuan Negeri Melaka.
“Tetapi apa yang mahu kita lihat kepada pertimbangan yang harus diberikan perhatian oleh mahkamah itu adalah tentang proses dan juga fakta yang menyebabkan DUN itu terbubar, terutamanya dalam konteks representasi, bagaimana proses itu dibuat,” katanya ketika menjadi tetamu dalam program Agenda AWANI.
Isu berkaitan pembubaran DUN negeri Melaka menjadi perhatian ramai setelah ia dijangka membawa kepada Pilihan Raya Negeri (PRN). Sebarang keputusan mengadakan pilihan raya ketika pendemik Covid-19 masih belum mereda dibimbangi akan menjejas usaha memerangi wabak tersebut.
Majlis Presiden HARAPAN melalui satu kenyataan baru-baru ini menegaskan bahawa perbincangan sewajarnya diadakan terlebih dahulu dengan pihak yang memiliki sokongan majoriti sebelum sebarang keputusan lanjut dibuat.
Sulaiman tiada hak nasihat di Pertua bubar DUN |
Disebabkan perkara-perkara tersebut, keabsahan pembubaran DUN Melaka itu perlu dibawa ke muka pengadilan dan ditentukan oleh mahkamah berlandaskan undang-undang dan Perlembagaan Negeri.
0 Comments