PAKATAN HARAPAN (HARAPAN) memberi amaran untuk menolak Belanjawan 2022 jika kerajaan terus memberikan peruntukan besar kepada J-Kom, yang menimbulkan kontroversi.
Seorang Ahli Parlimen KEADILAN yang terlibat dalam rundingan dengan Putrajaya mengenai belanjawan menegaskan bahawa blokHARAPAN akan menganggap peruntukan besar kepada jabatan yang didakwa dibentuk bagi memainkan propaganda kerajaan itu sebagai “pembatal perjanjian”.
Wong Cheng (HARAPAN-Subang) menganggap jabatan itu tidak perlu dan akan meminta agar ia dilupuskan dan pegawainya diserap ke jabatan lain yang “lebih berguna” atau dibenarkan terus beroperasi namun dengan belanjawan yang lebih rendah, iaitu kira-kira RM3 juta setahun.
“J-Kom seolah-seolah ditubuhkan sebagai jabatan propaganda. Sama ada ini baik atau buruk bergantung kepada kandungan propaganda yang disebarkannya.
“Jika ada pengawasan Parlimen yang baik dan mesejnya tidak berat sebelah dari segi politik, ia dapat memainkan peranan positif dalam memupuk keharmonian dan pembangunan negara. Namun ia mesti beroperasi dengan belanjawan yang lebih kecil dan munasabah berbanding 2021.
"Sebaliknya belanjawan diperbesarkan untuk J-Kom untuk 2022 seperti tahun lepas. Ini mungkin akan menjadi pembatal perjanjian,” katanya dengan menegaskan bahawa sebahagian besar dana perlu dialihkan kepada program untuk memerangi Covid-19.
Pada Belanjawan 2021 lalu, jabatan itu pada mulanya diperuntukkan sebanyak RM85.5 juta, tetapi jumlahnya dikurangkan kepada RM40.5 juta setelah menerima protes daripada Ahli Parlimen pembangkang.
Sementara itu Ahli Parlimen Klang Charles Santiago mendesak Putrajaya mengkaji semula keperluan kewujudan J-Kom yang dianggap penjenamaan semula Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) yang terlibat mengumpul risikan dan menyalurkan maklumat.
Pemimpin DAP itu berkata, adalah lebih baik dana J-Kom dibelanjakan dalam bidang yang akan mencipta pekerjaan atau menyediakan makanan buat golongan yang memerlukan.
Pada dasarnya kata Santiago, J-Kom tidak releven kerana terdapat kementerian dan agensi lain dibawah kerajaan yang melakukan tugas serupa.
“Kita ada polis, tentera laut dan perkhidmatan perisikan lain untuk mengumpulkan maklumat atau risikan,” katanya.
Salur peruntukan untuk perangi Covid-19 |
“Peranan semua agensi yang tidak menyumbang kepada proses pemulihan negara harus dikaji semula.” tegasnya.
0 Comments