Bantu sekolah tahfiz: akhirnya wakil rakyat PAS puji Guan Eng


SEORANG Ahli Parlimen dari PAS akhirnya memuji tindakan dilakukan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam memperkasa institusi sekolah tahfiz ketika era pentadbiran Pakatan Harapan (HARAPAN).

Ahmad Fadhli Shaari (Pasir Mas) melontar pujian itu di Dewan Rakyat setelah menyedari banyak sekolah yang menfokuskan pendidikan berteraskan Islam itu kini berdepan kesukaran meneruskan operasi kerana tekanan kewangan yang berpunca dari pandemik Covid-19.

Dia turut menyentuh keputusan kerajaan menyalurkan peruntukan kepada sekolah aliran Cina seperti dilapor media baru-baru ini dan mahu perkara sama dilakukan kepada sekolah tahfiz.

“Kita tak pertikai bantuan kepada sekolah aliran Cina tetapi dalam masa sama berapa sumbangan kepada sekolah tahfiz?

"Kalau dulu era Bagan (Lim Guan Eng), walaupun banyak perkara kita tidak setuju tapi beliau tetap berikan RM100 juta untuk sekolah tahfiz.

"Jdi kenapa tidak dalam era ini, pengumuman segera dibuat berapa ratus juta untuk pendidikan dan bantuan segera kepada sekolah tahfiz,” katanya.

Sebagai rekod, Guan Eng merupakan menteri kewangan ketika HARAPAN mentadbir negara, beliau dan partinya tidak terlepas dari dihina dan difitnah dengan pelbagai tuduhan termasuk cuba menjual aset dimiliki Tabung Haji bagi melemahkan Islam.

Malah pentaksub parti politik tertentu turut menyebarkan poster-poster yang berkata bahawa pemimpin DAP tersebut "musuh Islam nombor satu, darahnya halal.”

Guan Eng sering dijadikan sasaran kebencian
Peruntukan RM100 juta yang meliputi peruntukan untuk sekolah agama rakyat dan persendirian serta sekolah pondok diumumkan Guan Eng ketika itu adalah peningkatan RM50 juta berbanding ketika era pentadbiran Najib Razak.

Menurut Guan Eng, peruntukan tersebut adalah komitmen berterusan kerajaan Persekutuan HARAPAN untuk memastikan para pelajar menikmati persekitaran pembelajaran yang selamat dan selesa di sekolah tahfiz, sekolah agama rakyat dan persendirian serta sekolah pondok yang berdaftar.


Post a Comment

0 Comments