Balu ustaz Fadzil Noor meninggal dunia


ISTERI bekas Presiden PAS, Allahyarham Datuk Fadzil Muhammad Nor, iaitu Datin Khatijah Ibrahim meninggal dunia semalam.

Dipetik laporan media, Allahyarham  menghembuskan nafas terakhir di Wad Nefrologi, Hospital Kuala Lumpur (HKL) kira-kira jam 4.40 petang.
 
Anak Allahyarham, Muna Izzah Fadzil, Allahyarham meninggal dunia disebabkan komplikasi buah pinggang.

“Beliau pergi dengan tenang dan bahagia. Mama, kami redha. Segalanya milik Allah.

“Terima kasih kepada semua yang mendoakan bonda. Khamis, malam Jumaat sepertimana yang bonda impikan,” katanya di media sosial.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham atas berita duka itu.

Anwar yang memanggilnya sebagai ‘Kak Jah’ berkata, beliau dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkesempatan menziarahi almarhumah beberapa hari lalu.

“Terima khabar duka Kak Jah, sahabat keluarga kami yang juga isteri kepada mantan Presiden PAS, almarhum Ustaz Fadzil Noor telah pergi buat selamanya sebentar tadi.

“Saya utus takziah kepada keluarga serta turut mendoakan almarhumah diberi tempat yang terbaik oleh Yang Maha Esa. Al-Fatihah,” kata Anwar menerusi hantaran di Facebook malam tadi.

Sementara itu, ADUN Permatang Pasir,  Faiz Fadzil dalam catatannya menyampaikan penghargaan kepada kakitangan kesihatan yang telah memberi rawatan dialisis kepada ibunya sejak 12 tahun lalu.
 

Allahyarham meninggal dunia di HKL
“Terima kasih semua sahabat yang telah mendoakan kesejateraan bonda saya sepanjang tempoh sukar ini dan setinggi penghargaan kepada pegawai dan kakitangan hospital-hospital yang telah menjaga dan menguruskan bonda selama 12 tahun bonda menjalani rawatan dialisis,” katanya dipetik. 

Difahamkan, jenazah bakal disemadikan hari ini di tanah perkuburan Raudatul Sakinah di Gombak.

Post a Comment

0 Comments