KETUA Biro Wanita Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Terengganu, Yuslaini Azmi mempersoal dimana Senator PAS Mohd Apandi Mohamad ketika kadar bunuh diri di negara ini meningkat semasa perintah kawalan pergerakan (PKP)
Persoalan itu dibangkitkan Yuslaini ekoran tindakan Mohd Apandi di Dewan Negara pada 13 Oktober lalu yang mengaitkan drama Korea Selatan sebagai antara faktor berlakunya kes bunuh diri, khususnya di kalangan remaja.
"Saya hairan sekali bagaimana senator tersebut boleh begitu khayal dengan alam fantasi ciptaan beliau.
"Di mana suara beliau ketika ada rakyat membunuh diri akibat tidak cukup makan, minum ketika kempen bendera putih dilakukan beberapa bulan lepas?
"Mana suara beliau ketika rakyat kebuluran, hilang pekerjaan dan hilang tempat bergantung?
"Tidakkah beliau mengikut rapat tentang fenomena kesihatan mental di seluruh dunia yang terjejas teruk akibat PKP lebih dari setahun ini?" soal Yuslaini dalam kenyataan.
Terdahulu Mohd Apandi dikritik warganet setelah mencadangkan drama Korea Selatan mungkin menjadi salah satu faktor yang mendorong tindakan membunuh diri.
Dia mendakwa banyak drama dari Korea Selatan menggambarkan elemen bunuh diri sebagai pilihan apabila seseorang itu gagal dalam hidup.
Susulan itu warganet meminta dia mengemukakan data dan bukti penyelidikan bagi menyokong dakwaannya dibuatnya itu.
Mohd Apandi kemudiannya berkata dakwaan itu tidak dibuat secara 'pukul rata' terhadap semua drama dan filem Korea Selatan.
Mengulas lanjut, Yuslaini berkata amat mengecewakan apabila Mohd Apandi berhujah tanpa kajian dan bukti saintifik.
Kata Yuslaini, sikap penggubal dasar yang menurutnya berhujah tanpa menggunakan akal adalah memalukan.
“Saya berharap mana-mana ahli politik, menteri, senator dan mana-mana penggubal dasar negara berhentilah memperbodohkan diri sendiri di hadapan rakyat.
Jangan perbodoh diri depan rakyat |
"Jika begini tahap prestasinya, lebih baik berundur sahaja dari dunia politik kerana anda sememangnya tidak layak," kata Yuslaini lagi.
0 Comments