PEMIMPIN reformasi, Datuk Seri Anwar Ibrahim reda dengan kemungkinan beliau tidak akan menjadi Perdana Menteri.
Dalam wawancara dengan Radio ABC Australia, Anwar ketika dia ditanya apakah dia masih percaya dia boleh menjadi perdana menteri suatu hari nanti berkata bahawa beliau kini menyedari laluan untuk menjawat jawatan itu makin sukar terutama setelah membangkitkan isu 'Kertas Pandora'.
Langkah itu jelasnya akan menyebabkan ramai golongan berkuasa, termasuk elit politik dulu dan kini, serta konglomerat akan menjadi penentangnya.
Bekas timbalan Perdana Menteri itu turut menyatakan bahawa beliau sekadar menerima dan menyerahkan kepada takdir sama ada dia akan menjadi perdana menteri suatu hari nanti atau kekal sebagai ketua pembangkang.
“Saya tidak risaukan perkara itu. Saya cuma melakukan tugas saya, ‘que sera sera’ (apa yang hendak terjadi akan terjadi).
“Jika saya terus menjadi Ketua Pembangkang, baiklah. Jika (menjadi) Perdana Menteri, saya akan ucapkan syukur kepada Tuhan.” katanya dipetik.
Isu "Kertas Pandora' menarik perhatian ramai baru-baru ini susulan pendedahan mengenai aliran wang ke akaun luar pesisir telah dikaitkan dengan beberapa pemimpin politik dan 'orang kaya' di negara ini.
Anwar mengatakan bahawa isu mengenai aliran keluar haram dan akaun bank rahsia bukanlah perkara baru.
Pada tahun 2012 katanya beliau telah memberitahu kerajaan melalui Parlimen untuk menyiasat laporan Global Financial Integrity yang mendakwa terdapat aliran keluar haram sebanyak RM208 bilion ringgit.
"Saya mengemukakannya kepada perdana menteri ketika kami bertemu petang semalam. Dia bertanya apa lagi yang dapat dilakukan. Saya katakan kita mesti menjalankan siasatan penuh.
Isu ini bukannya baharu. Pada 2012, saya telah membangkitkan mengenai laporan integriti kewangan global yang turut melibatkan ratusan bilion ringgit (luar pesisir). Kemudian pada 2015 pula ‘Kertas Panama’.”
"Orang boleh mempunyai akaun di luar negara, tetapi jika anda adalah pegawai awam dengan ratusan juta disimpan di luar pesisir, anda mesti dipertanggungjawabkan," kata Anwar.
Bekas menteri kewangan terbaik Asia lewat tahun 90-an itu turut menegaskan bahawa "tidak masuk akal" apabila pegawai awam dapat memiliki begitu banyak kekayaan di luar negeri pada saat terdapat tahap kemiskinan yang tinggi di negara ini.
Sebagai rekod Anwar telah dua kali hampir menjadi perdana menteri - pertama kali ketika menjadi timbalan perdana menteri pada 1990-an dan seterusnya sebagai calon perdana menteri Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi menggantikan Dr Mahathir Mohamad pada pertengahan tahun 2018 hingga awal 2020.
Dalam percubaan pertamanya, dia dipecat dari kabinet oleh perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.
"Que sera sera", kata Anwar |
Walaupun langkah Anwar untuk menjadi perdana menteri sering terhalang, namun dipercayai masih ramai penyokong HARAPAN masih mahukan Anwar memimpin negara agar perubahan besar dapat dimulakan.
0 Comments