Anwar hantar rayuan, mahu Parlimen bahas isu ' Kertas Pandora'


KETUA PEMBANGKANG
, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengemukakan rayuan agar pendedahan Kertas Pandora yang sebelum ini ditolak Yang Dipertua Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun di Parlimen pada Rabu dibahaskan.

Menurut Anwar yang merupakan Ahli Parlimen Port Dickson, perbahasan berkaitan pengeluaran ratusan bilion ringgit keluar dari negara itu sewajarnya diteliti dan dibenarkan.

“Saya berpendapat bahawa perbahasan mengenai pendedahan Pandora Papers perlu disegerakan.

“Saya berharap rayuan usul ini dapat diteliti dan dipertimbangkan dengan sesegera mungkin,” katanya.

Berdasarkan salinan surat yang dikongsikan menerusi hantaran di Facebook beliau, rayuan usul berkenaan dilakukan di bawah Peraturan Mesyuarat 90 (1) dan 90 (2).

Azhar menolak usul dicadangkan oleh Anwar bagi membahaskan mengenai pendedahan Kertas Pandora di Dewan Rakyat selepas mendapati ia tidak perlu disegerakan kerana mesyuarat persidangan di Dewan Rakyat didahulukan dengan aturan mesyuarat.

Dia mencadangkan agar Anwar menggunakan prosedur lain untuk membincangkan isu tersebut termasuk menerusi soalan menteri, soal jawab lisan, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen atau Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

Pendedahan Kertas Pandora yang dilakukan oleh International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ) telah memetik beberapa figura penting negara berkaitan pemilikan akaun luar pesisir sepanjang 25 tahun lalu.

Anwar hantar rayuan kepada Speaker
Antara individu dikaitkan menerusi pendedahan berikut ialah Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; ahli perniagaan, Tun Daim Zainuddin bersama beberapa ahli keluarganya serta Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Timbalan Menteri Kewangan, Yamani Hafez Musa.

Pendedahan yang dibuat melibatkan hampir 12 juta fail itu turut mendapati sebanyak 118 firma luar pesisir yang sebahagian besarnya didakwa melibatkan pemilik yang berasal dari Malaysia.

Post a Comment

0 Comments