SEORANG Ahli Dewan Negara Senator Fadhlina Sidek menyifatkan Menteri Pendidikan, Radzi Jidin telah gagal menunjukkan prestasi yang baik.
Ia susulan lawatan Radzi ke sebuah kolej vokasional di Kuala Lumpur yang sebelum ini terpalit isu pemeriksaan haid mengejut terhadap pelajar wanita.
Menurut Fadhlina, lawatan menteri itu disifatkannya 'lambat' dan Radzi harus dinilai bagaimana dia mengendalikan perkara itu.
"100 hari anda hampir berlalu dan setakat ini, anda gagal melindungi gadis kami daripada gangguan seksual dan tiada usaha untuk mewujudkan dasar perlindungan kanak-kanak untuk menangani bentuk gangguan ini.
"Dakwaan itu amat mengerikan, dan dinyatakan bahawa gadis-gadis itu enggan membenarkan pemeriksaan haid mengejut itu," tambahnya merujuk pencapaian KPI 100 hari untuk menteri yang ditetapkan oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.
Fadhlina turut mendakwa sekitar Jun lalu, pemimpin dari parti Bersatu itu berjanji untuk menubuhkan badan penyiasat untuk melihat isu itu, tetapi tiada apa yang berlaku.
“Walaupun Radzi telah melawat kolej itu, dia bagaimanapun gagal untuk mengakui dan menangani dakwaan sebelum ini," kata Fadhlina lagi.
Memetik laporan Malaysiakini, Radzi melawat kolej itu berikutan dakwaan bahawa "pemeriksaan haid" telah dijalankan semula di institusi itu minggu lepas, setelah dihentikan seketika sebelum ini.
Menurut bekas wartawan Tashny Sukumaran, dia telah beberapa kali cuba menghubungi Radzi dan pegawai Kementerian Pendidikan untuk menjelaskan bahawa dia telah menerima aduan pelajar mengenai perkara itu serta meminta maklumat tentang cara menghubungi jawatankuasa yang didakwa akan ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan "pemeriksaan haid" itu.
Bagaimanapun, katanya, satu-satunya maklumat yang diterima daripada seorang pegawai kementerian yang dikatakan memberitahunya bahawa mereka "tiada maklumat" mengenai jawatankuasa itu.
Tashny kemudian menggunakan Twitter untuk menekan Radzi dan kementerian untuk bertindak.
Radzi disifatkan gagal dan tak proaktif |
"Sekiranya jawatankuasa itu telah ditubuhkan, sila kongsikan butirannya dengan orang ramai supaya kami boleh melaporkan pelanggaran ke atas gadis-gadis ini," katanya Tashny di Twitter.
0 Comments