Logo HARAPAN digunakan untuk PRN Melaka - Anwar


PAKATAN HARAPAN
(HARAPAN) telah membuat keputusan untuk menggunakan lambang gabungan itu untuk menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka pada bulan depan.

Pengerusi gabungan itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim ada satu sidang media di Petaling Jaya hari ini berkata, keputusan itu ditetapkan dalam mesyuarat Majlis Presiden yang diadakan hari ini.

"Keputusan kami di Melaka ialah kami bersetuju untuk bertanding bawah satu logo. Kami hanya akan bertanding guna logo HARAPAN dan bendera HARAPAN," katanya pada sidang media yang turut dihadiri Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Menurut Anwar pandangan daripada parti terbaru dalam gabungan itu, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) turut diambil kira.

Tambah Anwar lagi, dengan keputusan yang dicapai hari ini semua parti digerakkan dengan hanya menonjolkan logo HARAPAN

"Kita berjuang atas satu logo, satu pendirian, satu manifesto bagi peringkat negeri," katanya pada sidang media itu.

HARAPAN sedia hadapi PRN Melaka
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 8 Nov sebagai hari penamaan calon, manakala 20 Nov sebagai hari mengundi. Tarikh bagi pengundian awal pula ditetapkan pada 16 Nov.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan pada 4 Okt selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk bekas Ketua Menteri, Idris Haron menarik balik sokongan terhadap Ketua Menteri, Sulaiman Md Ali yang menyebabkan kerajaan negeri pimpinannya hilang sokongan majoriti.

DUN Melaka mempunyai 28 kerusi.

Post a Comment

0 Comments