PROSES pembahagian kerusi dalam kalangan parti komponen Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka telah selesai dan dimuktamadkan.
Perkembangan itu dimaklumkan Pengerusi gabungan itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim siang tadi.
Beliau berkata, perbincangan agihan kerusi telah melalui satu proses yang panjang dan akhirnya dipersetujui semua pihak.
Lebih menarik rundingan tersebut juga telah menyelesaikan isu kerusi bagi kawasan Parlimen di negeri itu.
Anwar ketika mengulas pembahagian kerusi DUN bagi menghadapi pilihan raya negeri memaklumkan bahawa DAP akan kekal meletakkan calonnya di lapan kerusi.
Manakala Amanah dan KEADILAN masing-masing mendapat tambahan tiga kerusi ekoran kedudukan parti Bersatu yang kini tidak lagi bersama dengan gabungan itu seperti pilihan raya lalu.
Dengan pertambahan kerusi itu, Amanah akan bertanding di sembilan kerusi manakala KEADILAN 11.
Secara keseluruhan DUN Melaka mempunyai 28 kerusi.
Sementara itu mengenai pembahagian kerusi parlimen untuk PRU akan datang, Anwar berkata, KEADILAN dan Amanah kekal mendapat dua kerusi seperti yang pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018.
DAP pula mendapat kembali kerusi tradisinya iaitu Alor Gajah yang sebelum ini ditandingi Bersatu.
"Pada PRU akan datang DAP akan dapat tambahan kerusi Alor Gajah kerana ini kawasan tradisi yang ditandingi mereka sejak awal tetapi diserahkan kepada Bersatu (sebelum ini).
"Justeru kerusi Alor Gajah akan kembali kepada DAP," kata Anwar pada sidang media di Petaling Jaya.
Anwar sementara itu turut diminta mengulas hasrat parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang menyatakan rancangan mereka menyertai PRN Melaka melalui HARAPAN.
Menjawab soalan itu, Anwar memaklumkan bahawa proses perbincangan masih berjalan.
"Ada perbincangan yang masih diteruskan... masih berbincang," katanya.
HARAPAN cekap selesai isu pembahagian kerusi |
Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil yang menyentuh hasrat Muda di Twitternya berkata, pembahagian kerusi perlu diselesaikan dalam kalangan mereka (HARAPAN) terlebih dulu sebelum langkah seterusnya dengan parti politik lain dapat dilaksanakan.
"Ini pembahagian yang telah selesai dalam kalangan parti komponen. Perbincangan dengan mana-mana parti lain insha-Allah bermula sekarang," ciapnya.
0 Comments