BELUM bermula tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Perikatan Nasional (PN) didakwa telah menganjurkan program yang dibimbangi melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Kumpulan pembaharuan pilihan raya, Bersih 2.0 berkata begitu sebagai merujuk program Gerai Prihatin Rakyat dianjurkan gabungan politik didominasi parti Bersatu dan PAS itu.
“Bersih 2.0 mengingatkan aktiviti sebegini adalah kesalahan pilihan raya, di mana perbuatan secara langsung atau tidak langsung oleh mana-mana pihak untuk memberikan makanan, minuman atau bekalan sebelum, semasa atau selepas pilihan raya dengan tujuan mendapatkan undi, di bawah Seksyen 8 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
“Walaupun Gerai Prihatin Rakyat tersebut tidak memberikan makanan, minuman atau bekalan secara langsung, namun mereka menjualnya dengan harga sangat murah dan boleh mempengaruhi pengundi secara rasuah untuk mengundi parti politik atau calon yang menyediakan khidmat sedemikian semasa tempoh pilihan raya,” kata kumpulan itu dalam kenyataan.
Difahamkan program penjualan barang keperluan pada harga rendah itu akan diadakan di Kampung Jus Permai, Selandar dan Pantai Klebang di Melaka pada Sabtu ini.
Empat barang keperluan, iaitu ubi kentang 2kg, seekor ayam, sepapan telur dan Milo 200g akan dijual pada harga RM15. Hanya seorang individu dari setiap isi rumah yang berpendapatan di bawah RM4,000 boleh membelinya. Ia terhad kepada 2,000 pembeli pertama secara pandu lalu.
Pembeli diminta mengemukakan kad pengenalan bagi melayakkan mereka membeli barangan berkenaan.
Terdahulu poster mengenai program pada Sabtu ini yang difahamkan dimuat naik ke media sosial menampilkan Pengerusi PN Melaka, Mohd Rafiq Naizamohideen. Presiden Bersatu Mahiaddin Md Yassin dijangka melancarkan program itu.
Jangan rasuah untuk raih undi |
Sementara itu Bersih 2.0 mengingatkan bahawa Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda antara RM1,000 hingga RM5,000, jika sabit kesalahan.
“Kami menggesa semua pihak menjunjung semangat pilihan raya bersih dan adil serta semangat peruntukan akta ini untuk menghalang mana-mana pihak secara rasuah mempengaruhi pengundi untuk memilih mereka dalam pilihan raya.” kata mereka dipetik.
Dalam perkembangan berkaitan, SOR menggesa laporan dibuat kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika orang ramai percaya terdapat kesalahan telah dilakukan menjelang pilihan raya Melaka.
"Apa-apa aktiviti yang didakwa melanggari mana-mana peruntukan di bawah
Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 sebelum, semasa atau selepas pilihan
raya hendaklah dilaporkan kepada pihak berkuasa yang berkenaan seperti
PDRM atau SPRM untuk tindakan lanjut," kata mereka dipetik Malaysiakini.
0 Comments