15 ADUN Melaka mahu ke Istana Negara


SEMUA 15 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menyokong Pakatan Harapan (HARAPAN) dijangka menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah hari ini.

Perkara itu dimaklumkan ADUN Pengkalan Batu Norhizam Hassan Baktee seperti dilapor media.

Norhizam yang merupakan seorang dari empat ADUN yang mengumumkan menarik semula sokongan terhadap Ketua Menteri, Sulaiman Md Ali berkata, semua mereka akan ke Istana Negara untuk menghadap Seri Paduka Baginda bagi menyelesaikan krisis pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

“Esok kami akan menaiki bas ke Istana Negara dan cadangan ini sudah dipersetujui semua pihak.

“Cadangan ini (menghadap) disuarakan Datuk Seri Idris Haron (ADUN Sungai Udang) dan esok kami akan bertolak ke istana,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Tidak dapat disahkan apakah pertemuan tersebut telah diperkenan Istana Negara.

Terdahulu, Norhizam, meluahkan ketidakwajaran keputusan pembubaran DUN Melaka memandangkan beliau bersama tiga lagi ADUN dan 11 ADUN daripada HARAPAN belum menerima sebarang maklum balas sama ada daripada pejabat Yang di-Pertua Negeri Mohd Ali Rustam mahupun Istana Melaka.

Beliau turut mendakwa terdapat dwistandard dalam keputusan dibuat itu walaupun pihaknya sudah membentuk majoriti secara fizikal.

“Pandangan kami pengisytiharan pembubaran DUN secara tergesa-gesa semalam bertentangan dengan apa yang diamalkan di pentadbiran Pusat oleh Agong.

“Di peringkat Pusat, sebelum membuat keputusan, baginda mendapatkan nasihat daripada semua pihak termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), hakim dan peguam negara serta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebelum satu keputusan dibuat demi kesejahteraan rakyat serta kepentingan negara,” katanya.

Majlis Presiden HARAPAN dalam satu kenyataan semalam menegaskan sepatutnya, Ali Rustam bertemu dan berbincang dengan pihak yang mempunyai kelebihan majoriti di DUN Melaka sebelum membuat sebarang persetujuan pembubaran Dewan.

Tindakan Ali Rustam itu juga menurut mereka melanggar duluan (precedent) di mana pada 2020 nasihat Ketua Menteri ketika itu, Adly Zahari untuk membubarkan DUN tidak diterima setelah hilang majoriti.

15 ADUN mahu bertemu Agong
Sementara itu tegas Norhizam, situasi di Melaka juga tidak boleh disamakan dengan Sarawak memandangkan kerajaan negeri Sarawak ketika ini masih mempunyai majoriti, sebaliknya di Melaka kerajaan sudah tumbang dan hilang majoriti.

“Adalah tidak adil untuk lantik kerajaan yang sudah tumbang sebagai ‘caretaker’ sementara menanti keputusan SPR melaksanakan Pilihan Raya Negeri (PRN) atau pengisytiharan darurat untuk dilaksanakan,” katanya lagi.

Post a Comment

0 Comments