Undi percaya: Ismail takut dengan kerajaan sendiri, seloroh Anwar


PENGERUSI Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim secara berseloroh menganggap perdana menteri Ismail Sabri Yaakob ‘takut’ dengan parti-parti dalam kerajaan.


Anwar berkata begitu dalam klip bual bicara yang dimuatnaik di Facebook rasminya semalam sebagai mengulas isu berkaitan usul undi percaya Naib Presiden Umno itu dalam Dewan Rakyat.

Menurut Anwar, proses undi percaya merupakan tuntutan paling asas dalam mana-mana sistem demokrasi berparlimen apatah lagi Yang Dipertuan Agong sendiri sebelum ini menitahkan supaya perdana menteri yang baru dilantik segera menjalankan proses itu.

Malah menurut Anwar usul seperti itu tidak asing kerana pernah diadakan bagi menabsahkan kedudukan Tun Hussein Onn dan Tun Abdullah Badawi sebagai perdana menteri ketika itu.

“Tan Sri Mahiaddin tidak (buat usul undi percaya), sebab itu dia merudum.

“Sekarang, Ismail Sabri sehingga hari ini, belum. Dalam pertemuan kami sebelum ini, dia membayangkan seolah-olah, (undi percaya) tidak percaya.

“Saya beri nasihat kerana keabsahan legitimasi yang kemudiannya dititahkan Tuanku Agong.

“Dia takut sama-sama dia (parti-parti dalam kerajaan),” kata Presiden KEADILAN itu.

Hari ini, Pengarah Komunikasi KEADILAN yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai mendedahkan bahawa usul undi percaya terhadap Ismail tidak akan diadakan pada sesi mesyuarat Dewan Rakyat yang akan bermula Isnin depan.

Dalam siarannya, Anwar turut membidas kenyataan Peguam Negara baru-baru ini yang berkata Ismail tidak perlu menghadapi undi percaya bagi mengabsahkan pelantikannya.

menurut Idrus Harun,langkah mengabsahkan pelantikan perdana menteri adalah tidak selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan menidakkan kuasa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melaluis atu kenyataan Istana Negara pada 18 Ogos lalu bertitah Perdana Menteri yang dilantik perlu secepat mungkin mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat bagi mengesahkan keabsahan beliau mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, perkara itu adalah menurut Perkara 40(2)(a) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Anwar sementara itu menegaskan bahawa Idrus turut hadir sewaktu sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara bersama ketua-ketua parti pada 17 Ogos lalu.

“Sultan Nazrin dalam menyokong titah Agong menambah usul undi percaya harus menjadi agenda pertama dalam sidang Parlimen. Peguam Negara pun ada tapi dia tak kata apa.

Undi percaya antara asas dalam sistem demokrasi
“Jadi, pada masa itu semua sependapat kemudian Agong menitahkan dalam kenyataan Istana Negara, usul undi percaya perlu dilakukan.

“(Tapi) tidak semena-mena keluar kenyataan Peguam Negara, nak jaga Yang di-Pertuan Agong tidak perlu undi percaya.

“Apa benda ini? Dalam konvensyen negara kita dan semua negara demokrasi, selepas pilihan raya, mandat baru. Di antara itu siapa yang bertukar ganti harus memohon undi percaya,” tegas Anwar lagi.
 

Post a Comment

0 Comments