Tiada usul undi percaya terhadap PM, k'jaan PN 2.0 dikritik warganet


WALAUPUN yang dipertuan Agong dalam satu kenyataan Istana Negara pada 18 Ogos lalu menitahkan supaya Perdana Menteri baharu yang dilantik perlu mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat, namun usul tersebut tidak tersenarai dalam aturan mesyuarat yang akan bermula Isnin ini.

Perkara itu didedahkan Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil melalui ciapan di Twitternya.

Fahmi yang merupakan Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata antara usul yang tersenarai adalah usul bagi memilih timbalan speaker, perintah Dewan kepada KPN (Ketua Polis Negara) untuk tidak halang MP ke Parlimen (dan) usul menjunjung kasih.

“Soalan pertama (pada) 14/9 oleh (ahli parlimen) Jempol (Mohd Salim Mohd Sharif ), diikuti (ahli parlimen) Port Dickson (Anwar Ibrahim).
 
“Tiada usul percaya terhadap PM9 @IsmailSabri60,” ciapnya.

Isu sama ada perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob perlu berhadapan usul percaya dalam Parlimen hangat diperdebatkan.

Peguam Negara, Idrus Harun berkata bahawa undi percaya tidak perlu dilakukan pada persidangan Dewan Rakyat atas alasan bahawa jika pelantikan Perdana Menteri yang baharu masih memerlukan keabsahan oleh mana-mana pihak selain daripada Seri Paduka Baginda, ini bermakna kuasa mutlak Seri Paduka Baginda boleh diatasi oleh pihak lain.

Kenyataan itu dilihat bertentangan dengan titah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang disiar melalui kenyataan Istana agar Perdana Menteri baharu yang dilantik perlu mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat untuk mengabsahkannya mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Sementara itu di media sosial, warganet menyifatkan kerajaan dipimpin Ismail Sabri takut untuk berdepan usul itu.

"Aik?? Takkan PM (perdana menteri) baru pun takut dgn usul percaya kot? Dulu geng UMNO jugak yg persoal keabsahan TSMY (Mahiaddin Md Yasin)," soal seorang pelayar dengan nama @ruffnazir
·
Manakala @azryn81 pula menyifatkan kerajaan dipimpin Naib presiden Umno itu seoalh-olah takut dengan bayang-bayang mereka sendiri.
·
 "Takut dgn bayang2 sendiri inilah rupanya, bila dapat kuasa dgn cara khianat. Keliling semua ada kepentingan, semoga PM9 tidur nyenyak la malam2," tulisnya. 

Sementara beberapa warganet lain menyifatkan kerajaan Ismail meneruskan legasi kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.

Tiada usul undi percaya dibawakan terhadap Ismail
Sebagai rekod, Ismail dipilih menggantikan Mahiaddin Md Yasin yang meletak jawatan setelah beberapa pemimpin Umno menarik semula sokongan terhadapnya sebagai Perdana Menteri.

Walaupun Mahiaddin sebelumnya menyatakan kesediaan untuk usul percaya dibawakan terhadapnya, namun Ahli Parlimen Pagoh itu meletak jawatan sebelum usul itu dibawakan dalam Dewan untuk diundi.  

Post a Comment

0 Comments