MENTERI Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun menafikan dakwaan beliau gagal menjalankan tugasnya sebagai Pengerusi KEADILAN negeri itu seperti didakwa sesetengah pihak.
Dipetik laporan The Star Online hari ini, Aminuddin menegaskan bahawa keadaan pandemik Covid-19 sekarang dan kekangan perintah kawalan pergerakan (PKP) menyukarkan dia mengadakan pertemuan dengan anggota akar umbi KEADILAN sejak beberapa bulan lalu.
Itu jelasnya menjadi punca mengapa beliau dituduh gagal memperkukuh parti itu di Negeri Sembilan.
"Lagi pun saya masih berhubung dengan mereka. Macam mana saya boleh adakan program kalau kita semua memang tidak dibenarkan berbuat begitu?
"Saya tak nampak ada masalah di sini, bagaimanapun saya akan mengadakan mesyuarat peringkat negeri sebelum akhir bulan ini untuk selesaikan isu berbangkit," katanya.
Beberapa pihak yang mendakwa mereka sebagai pemimpin akar umbi sebelum ini mengadakan sidang media bagi menyatakan rasa hilang keyakinan mereka terhadap Adun Sikamat terbabit.
Antara yang membuat kenyataan itu ialah empat Adun iaitu Ismail Ahmad (Labu), M Ravi (Sri Tanjung), Mohamad Rafie Ab Malek (Ampangan) dan Michael Yek Diew Ching (Chuah).
Bagaimanapun Yek kemudian menafikan pembabitannya dalam kenyataan tersebut dan menegaskan isu itu sepatutnya diselesaikan secara dalaman.
Sumber yang dipetik media mendakwa ada usaha digerakkan pihak yang mempunyai kaitan rapat dengan bekas pemimpin yang meninggalkan KEADILAN dalam 'Langkah Sheraton" lalu bagi menggulingkan Aminuddin.
Bagaimanapun usaha itu gagal setelah usaha itu tidak mendapat sokongan ADUN di negeri berkenaan.
![]() |
Pendemik kekang program parti |
"Selagi YAB Sikamat (Aminuddin) mempunyai sokongan majoriti dalam DUN, kedudukan beliau sebagai menteri besar tidak perlu dipertikaikan oleh mana-mana pihak," kata bekas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
0 Comments