Allahyarham yang juga merupakan Presiden Kolej Dar al-Hikmah (KDH) yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menghembuskan nafas terakhir pada usia 74 tahun di Hospital An Nur Bangi.
“Dengan rasa sedih dan penuh dukacitanya disampaikan bahawa Presiden Abim ketiga juga Murabbi kita, Prof. Ustaz Dato’ Dr Siddiq Fadhil (USF) telah kembali menemui Penciptanya pada jam 6:32 petang, Selasa 31 Ogos 2021.
“Jenazah Almarhum masih berada di hospital dan urusan seterusnya akan dimaklumkan kelak. Al-Fatihah,” kata pimpinan Abim yang mewakili keluarga Allahyarham dalam satu kenyataan.
Menurut keluarga beliau, Ustaz Siddiq tidak meninggal kerana Covid-19 sebagaimana yang dilaporkan sebelum ini.
Allahyarham dimasukkan ke ICU dan diberikan alat bantuan pernafasan kerana masalah pernafasan dan buah pinggang sejak 28 ogos lalu.
Sebagai rekod, Allahyarham merupakan Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan Tahun 2018.
Tokoh disegani itu juga mantan Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) tahun 1970 an, mantan Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) tahun 1970 an, presiden ketiga ABIM tahun 1980 an dan juga mantan Presiden Wadah Pencerdasan Umat (WADAH) pertama pada tahun 2005.
Rakan karib Allahyarham, Datuk Seri Anwar Ibrahim sementara itu dalam kemas kini laman Facebooknyat urut melahirkan rasa kehilangan atas pemergian tokoh dihormati itu.
Anwar yang juga merupakan bekas Presiden Abim berkata, garapan dan sikap perihatin Almarhum Siddiq terhadap masalah umat amat tuntas dan mendalam.
![]() |
Siddiq Fadzil adalah rakan karib Anwar Ibrahim |
"Dukacita pemergian sahabat karib saya lebih 50 tahun, tokoh da'ie, pendidik, pemikir dan intelektual Melayu yang dihormati.
"Saya utus takziah kepada keluarga serta turut mendoakan beliau diberi tempat terbaik oleh Yang Maha Esa," tulis Ketua Pembangkang di Parlimen itu.
Laman sosial khasnya Facebook dipenuhi dengan ucapan takziah dan kenangan ketika bersama dengan Ustaz Siddiq.
Sementara itu, Presiden Amanah, Mohamad Sabu menyifatkan Malaysia kehilangan seorang tokoh pendidikan dan dakwah.
Dalam kenyataannya beliau berkata, pemergian Siddiq satu kehilangan besar buat negara khususnya Parti Amanah Negara yang menerima sentuhan dan pandangan beliau seawal sebelum penubuhan.
0 Comments