PRESIDEN Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meminta Datuk Seri Amirudin Shari tampil memberi penjelasan terperinci berhubung aduan bahawa kerajaan negeri Selangor telah melakukan penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU).
Anwar berkata bahawa kepemimpinan parti itu sejak tahun lepas telah meminta Menteri Besar itu membatalkan rancangan penyahwartawaan HSKLU.
“Saya meneliti laporan dan aduan berkenaan tindakan Kerajaan Selangor yang telah melakukan penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) pada bulan Mei yang lalu.
“Pimpinan KEADILAN sejak tahun lalu telah memaklumkan kepada Menteri Besar untuk membatalkan perkara tersebut.
“Saya juga turut mengambil maklum bahawa Dewan Undangan Negeri Selangor telah menolak cadangan tersebut.
“Menteri Besar telah diminta untuk memberi penjelasan terperinci berhubung perkara ini dalam pertemuan bersama pimpinan parti esok (Rabu) ,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Media melaporkan bahawa penyahwartaan HSKLU dibuat Mei, hanya didedahkan Exco Alam Sekitar, Hee Loy Sian ketika sesi soal jawab sidang DUN Selangor pada Isnin.
Penyahwartaan itu katanya dibuat setelah keputusan dicapai pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) ke-17/2021 yang disahkan oleh MMKN ke-18 pada 19 Mei, membabitkan 536.70 hektar kawasan di bawah Seksyen 12, Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negeri Selangor 1985.
Susulan itu beberapa ADUN termasuk dari kerajaan negeri sendiri menggesa supaya penyahwartaan itu ditarik balik.
Sebagai rekod pada bulan Mac tahun lalu, Amirudin memaklumkan dua syarikat telah mencadangkan untuk membangunkan kawasan Hutan Simpan Kekal Kuala Langat Utara, iaitu Titian Jutaria Sdn Bhd dan Menteri Besar Incorporated Selangor (MBI Selangor).
Pendengaran awam mengenai rancangan penghapusan pewartaan itu diadakan pada bulan September tahun lalu, yang mana ramai pihak membantah tindakan tersebut susulan kawasan iru merupakan hutan paya gambut yang jarang-jarang ditemui dengan habitat semulajadi untuk haiwan yang diancam kepupusan.
Untuk rekod, pada November tahun lalu, DUN Selangor sebulat suara meluluskan usul yang menggesa kerajaan negeri membatalkan membatalkan rancangan penyahwartaan HSKLU, supaya kawasan hutan simpan dan tadahan air itu dapat dikekalkan dan dipelihara.
![]() |
Amirudin dipanggil beri penjelasan |
Setiausahanya, Abdul Razak Ismail berkata kelulusan itu seolah-olah kerajaan negeri diketuai Amirudin itu tidak mengambil serius bantahan lebih 50,000 rakyat termasuk masyarakat tempatan, Orang Asli dan NGO alam sekitar.
0 Comments