Sokongan ADUN terhadap Aminuddin masih kukuh


KEDUDUKAN pengerusi KEADILAN Negeri Sembilan, Aminuddin Harun  sebagai menteri besar di negeri itu tetap kukuh, kata Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke.

Kenyataan itu dinyatakan beliau susulan percubaan menggantikan Aminuddin sebagai Menteri Besar seperti dilapor media semalam.

Tambah Loke yang juga ADUN Chennah, Aminuddin sehingga kini masih kekal mendapat keyakinan dan sokongan majoriti ADUN Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk terus menerajui kerajaan negeri.

“Selagi YAB Sikamat (Aminuddin) mempunyai sokongan majoriti dalam DUN, kedudukan beliau sebagai menteri besar tidak perlu dipertikaikan oleh mana-mana pihak," kata Loke selepas menghadiri sidangan pertama penggal keempat DUN Negeri Sembilan di Seremban.

Media semalam melaporkan rasa tidak puas hati yang dinyatakan ADUN Chuah, Yek Diew Ching dan pemimpin enam daripada lapan cabang parti itu terhadap Aminuddin.

Sumber yang dipetik walaubagaimanapun berkata, percubaan pihak itu menukar Menteri Besar tidak mendapat sambutan.

Terdahulu Speaker DUN Negeri Sembilan, Zulkefly Mohamad Omar, mengesahkan pihaknya tidak menerima sebarang surat daripada mana-mana Adun HARAPAN menarik balik sokongan mereka ke atas Aminuddin.

"Jawapan itu memberikan satu mesej yang kuat dan jelas kepada seluruh rakyat, bahawa kedudukan YB Sikamat jelas," tambah Loke.
 
Sementara itu, Ketua Pemuda Pakatan Harapan (HARAPAN) Negeri Sembilan Mohd Hanis Alimin menyatakan sokongan penuh terhadap kepimpinan Aminuddin sebagai menteri besar sehingga tamat penggal ini.

Pentadbiran Aminuddin masih kukuh


"Sehingga hari ini, pengurusan pentadbiran yang dipamerkan Aminuddin begitu telus dengan akauntabiliti yang cermat dan tidak berlaku sebarang salah guna kuasa.


"Ini juga diperakui oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan melalui titah semasa sesi pembukaan Sidang DUN Jumaat lalu, bahawa kerajaan negeri pimpinan Aminuddin sangat cemerlang dengan berusaha mengutip hasil ke paras yang membanggakan iaitu sebanyak 98 peratus," katanya dalam kenyataan.

Post a Comment

0 Comments