Shafee mengaku beli banglo guna cek dari Najib


PEGUAM
Muhammad Shafee Abdullah didakwa membeli satu unit rumah banglo di Bukit Tunku, Kuala Lumpur dengan menggunakan cek berjumlah RM9.5 juta diberikan bekas perdana menteri, Najib Razak kepadanya.

Penolong Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Nasharudin Amir, 49 dalam prosiding di Mahkamah Tinggi berkata Muhammad Shafee membuat pengakuan itu ketika percakapannya dirakam oleh beliau pada 28 Julai 2017.

"Berdasarkan jawapan yang diberikan Muhammad Shafee dalam rakaman percakapan, dua keping cek masing-masing bernilai RM4.3 juta dan RM5.2 juta yang diterima daripada Najib sebagai bayaran khidmat nasihat guaman yang diberikan peguam itu kepada bekas perdana menteri berkenaan dan parti, digunakan untuk membeli rumah bernilai RM9.5 juta," kata saksi keempat pendakwaan itu dipetik laporan Bernama.

Sebagai rekod, Shafee adalah peguam kepada Najib Razak dan sering muncul dalam kes-kes berprofile tinggi membabitkan Ahli Parlimen Pekan itu.

Ketika Najib menjadi perdana menteri, Shafee pernah dilantik sebagai Ketua Pendakwa Raya dalam kes fitnah liwat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Muhammad Shafee dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di CIMB Bank Bhd, Taman Tunku, Bukit Tunku di Kuala Lumpur mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun dan denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Peguam itu juga berdepan dua pertuduhan terlibat dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram iaitu mengemukakan penyata tidak betul dan bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Dis 2013 dan 31 Dis 2014.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di LHDN cawangan Jalan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di Kuala Lumpur pada 3 Mac 2015 dan 29 Jun 2015 dan berdepan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah hasil aktiviti haram.

Sementara itu, Penolong Penguasa di Cawangan Siasatan D, Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, Zulfaqar Mohd Khalil, 29, berkata ketika merakam percakapan Muhammad Shafee pada 11 Sept 2018, di ibu pejabat suruhanjaya itu, peguam berkenaan juga memberitahu bahawa wang tersebut digunakan untuk pembelian tanah dan banglo tiga tingkat.

Saksi pendakwaan kelima itu berkata Muhammad Shafee memaklumkan demikian selepas beliau dirujuk dokumen asal perjanjian jual beli bertarikh 21 Feb 2014 semasa rakaman percakapannya diambil.

Zulfaqar berkata Muhammad Shafee turut memaklumkan bahawa beliau memberi khidmat guaman kepada klien daripada Barisan Nasional, berkaitan petisyen pilihan raya bagi 2004 hingga 2006, dengan 46 fail telah dibuka.

“Muhammad Shafee juga menjelaskan bahawa beliau telah berjumpa Najib pada 5 Sept 2013, dan menyatakan jumlah keseluruhan kos khidmat guaman yang telah diberikan adalah kira-kira RM12 juta. Beliau mencadangkan kepada Najib sekiranya bayaran hendak dibuat, jumlah sebenar adalah RM11.5 juta.

Shafee dituduh terlibat transaksi aktiviyi haram
“Dalam perjumpaan itu, Muhammad Shafee mengesahkan beliau ada memaklumkan kepada Najib bahawa beliau memerlukan duit untuk membeli rumah bernilai RM9.5 juta dan Najib memberitahu kepada peguam itu untuk mengambil RM9.5 juta terlebih dahulu sebelum memberikan dua keping cek masing-masing bernilai RM4.3 juta dan RM5.2 juta.

"Menurut Muhammad Shafee, Najib bersetuju supaya RM9.5 juta sebagai pinjaman sehinggalah beliau dan Najib membuat ‘rationalisation’," kata saksi berkenaan seperti dilapor Bernama.

Pada 13 Sept 2018, Muhammad Shafee mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima wang hasil kegiatan haram berjumlah RM9.5 juta melalui dua cek dikeluarkan oleh Najib yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya.
 

Post a Comment

0 Comments