Pemandu dan kelindan maut lepas traler 'terjun' gaung


SEORANG
Pemandu dan pembantunya maut selepas lori dinaiki mereka terbabas ke dalam gaung sedalam 10 meter di Kilometer (KM) 43.5 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak semalam.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata,dalam kejadian kira-kira 3 petang itu, pemandu lori terbabit, Nazli Misnon, 56 dan kelindannya, Anwar Tushali Arimi Mualimin, 25 disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Tambahnya, hasil siasatan mendapati lori yang membawa muatan baja itu dari Sabak Bernam, Selangor menghala ke Raub, Pahang hilang kawalan di selekoh 43.5 KM sebelum terbabas ke kiri jalan dan terjunam ke dalam gaung.

"Kedua-dua mangsa tersepit di bawah lori dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," kata Zaiham.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang dalam kenyataan pula memaklumkan 13 anggota dan pegawai daripada Balai Bomba dan Penyelamat Bentong bersama dua jentera dan Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian.

“Sejurus tiba, anggota bomba telah bertindak menggunakan ‘rescue power unit’, peralatan tali dan ‘bucket stretcher’ untuk mengeluarkan mangsa sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” kata kenyataan itu.

Difahamkan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan pihak yang melihat kejadian itu turut diminta tampil untuk membantu siasatan

"Kita memohon mana-mana pihak yang melihat kejadian itu untuk tampil bagi membantu siasatan.

Lori hilang kawalan sebelum jatuh dalam gaung
"Pengguna jalan raya juga dinasihatkan agar sentiasa memandu kenderaan masing-masing secara berhati-hati dan berhemah serta memastikan kenderaan yang dipandu diselenggara dengan baik serta selamat," tambahnya lagi.

Post a Comment

0 Comments