SPRM digesa jelaskan penarikan balik kes rasuah Noor Ehsanuddin

 


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diminta untuk mejelaskan keputusan pihak pendakwaan untuk menarik balik pertuduhan rasuah terhadap bekas ahli lembaga pengarah Felda, Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashi.

Presiden Transparency International-Malaysia (TI-M) Muhammad Mohan dalam satu kenyataan semalam berkata, penarikan balik pertuduhan itu satu keputusan yang mengejutkan dan membangkitkan tanda tanya kepada orang ramai.

"Sementara kami memahami aspek teknikal dalam kes ini, namun penting bagi SPRM untuk menjelaskan kepada orang awam mengapa perlu untuk menarik balik pendakwaan setelah meneliti pernyataan pembelaan.

"Ini kerana ia telah membangkitkan banyak persoalan di kalangan masyarakat dan juga untuk mengelak berlakunya defisit kepercayaan terhadap SPRM di kalangan masyarakat," katanya.

Semalam media melaporkan bahawa Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Noor Ehsanuddin dari 29 pertuduhan rasuah dihadapinya.

Peguamnya, Hasnal Rezua Merican dilaporkan berkata, keputusan untuk menarik balik pertuduhan dibuat setelah SPRM menyiasat pernyataan pembelaan di bawah Seksyen 62 Akta SPRM dan berpuas hati bahawa kesemua transaksi yang dipertuduhkan adalah wang duluan (advances) yang telah dibayar balik sepenuhnya.

“29 tuduhan itu ditarik balik selepas SPRM memeriksa pernyataan pembelaannya.

“Soalannya adalah, kenapa perkara itu tidak diteliti sebelum dia didakwa.

“Fakta bahawa ia wang duluan (advances) atau wang duluan yang telah dibayar balik tidak bererti transaksinya bukan rasuah seperti mengikut dakwaan, kerana ia termasuk sebagai habuan yang disebut dalam Akta SPRM,” kata Muhammad Mohan lagi.

Noor Ehsanuddin sebelum ini berdepan  14 pertuduhan melibatkan dakwaan menerima rasuah bagi bayaran ansuran kenderaan berjumlah RM23,540.68 daripada sebuah syarikat percetakan, Karya Hidayah Sdn Bhd pada 2014 dan 2015.

Keputusan timbulkan banyak tanya tanya
Sepuluh pertuduhan lagi termasuk menerima suapan wang tunai bernilai RM50,000 dan sebidang tanah daripada syarikat sama pada 2013 dan 2014.

Sejumlah 24 saksi pendakwaan, termasuk pegawai bank dan pegawai Suruhanjaya Syarikat Malaysia, telah dipanggil memberi keterangan dalam prosiding yang bermula Ogos 2019.
 

Post a Comment

0 Comments