Pakar Perlembagaan sifatkan kenyataan Idrus sebagai aneh


KENYATAAN peguam negara, Idrus Harun bahawa usul undi percaya akan menidakkan kuasa Yang di-Pertuan Agong dianggap sebagai kenyataan 'aneh' oleh Pakar perlembagaan yang juga bekas profesor undang-undang.

Abdul Aziz Bari yang kini adalah ketua pembangkang DUN Perak, berkata usul itu bagi mengabsahkan pelantikan Perdana Menteri dan kerajaan yang telah dibentuk baru-baru ini bukan keperluan undang-undang namun lebih bersifat politik atau asas moral kepada pelantikan dan kedudukan Perdana Menteri.

Seruan supaya diadakan usul percaya (motion of confidence) adalah supaya pelantikan tersebut disahkan.

“Meskipun ia bukan keperluan undang-undang, ia tidak bertentangan dengan mana-mana peruntukan Perlembagaan,” katanya dalam kenyataan.

Abdul Aziz turut mengambil contoh kepada amalan tersebut yang pernah berlaku sebelum ini, khususnya pada 1976 dalam pelantikan Hussein Onn sebagai perdana menteri ketiga.

Usul percaya tambahnya lagi kini sudah menjadi sebahagian daripada amalan dan tradisi perlembagaan negara.

Justeru Peguam Negara perlu sedar bahawa Perlembagaan tidak terbatas kepada peruntukan yang ada semata-mata dan segala amalan yang selari dengan Perlembagaan juga perlu diperkasakan.

“Sepatutnya Peguam Negara menyokong cadangan yang jelas boleh menyuburkan tradisi perlembagaan negara,” ujarnya.

Sepatutnya Idrus sokong usaha bawa usul percaya


Dalam kenyataan itu juga, Abdul Aziz menegaskan bahawa Seri Paduka Baginda sendiri telah menggesa usul percaya diadakan untuk mengesahkan keabsahan Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri.

 
"Ini dengan sendirinya menolak andaian Peguam Negara yang usul berkenaan mempersoal kuasa Yang Di-Pertuan Agong," tambah ADUN Tebing Tinggi itu lagi.

Post a Comment

0 Comments