Mahkamah arah pemfitnah bayar RM200,000 kepada Husam


MAHKAMAH Tinggi Kota Bahru hari ini mengarahkan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) Wan Zawawi Wan Ismail membayar ganti rugi sebanyak RM200,000 dan kos rayuan RM6,000 kepada Ahli Dewan Negara, Senator Husam Musa.

Ia susulan dakwaan palsu dibuat Wan Zawawi sebelum ini mendakwa bekas Naib Presiden Amanah itu “menerima dana daripada tauke judi DAP” untuk menjatuhkan kerajaan PAS Kelantan.
 
Peguam Hisham Fauzi yang mewakili Husam berkata,  Hakim Datuk Roslan Abu Bakar telah mengarahkan pembayaran itu selepas membenarkan rayuan Husam untuk mendapatkan ganti rugi selepas menang saman fitnah terhadap Zawawi sebelum ini dengan kos perbicaraan sebanyak RM50,000.

Mahkamah menetapkan keputusan itu selepas meneliti dan mempertimbangkan hujahan bertulis kedua-dua pihak.

"Berdasarkan pertimbangan yang dibuat, mahkamah berpendapat ganti rugi global yang ditetap dalam keputusan sebelum ini adalah rendah dan tidak setimpal dengan kesan fitnah itu kepada Husam,” katanya dipetik laporan media.

Mahkamah turut mengeluarkan perintah injunksi terhadap Zawawi daripada mengeluarkan apa-apa pernyataan fitnah terhadap Husam selepas ini.

Wan Zawawi yang juga bekas ketua pegawai eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) di dalam status facebooknya menuduh Amanah Kelantan menerima dana daripada seorang tauke judi dari DAP untuk digunakan bagi menjatuhkan kerajaan PAS Kelantan dengan gambar Husam bersama tulisan tersebut.

Sebagai rekod  pada 26 Jun 2019 melaporkan Husam yang juga bekas exco kerajaan Kelantan itu berjaya dalam saman fitnahnya terhadap Wan Zawawi.

Dalam keputusan terdahulu, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kota Bharu Wan Ahmad Farid Wan Salleh memutuskan Husam selaku plaintif berjaya membuktikan kesnya dan memenuhi kriteria kes fitnah.

Husam difitnah terima dana tauke judi


Dia kemudian memerintahkan Wan Zawawi membayar ganti rugi dengan jumlah yang akan diputuskan mahkamah nanti.

Sementara itu Husam yang turut memaklumkan perkembangan kes itu di Facebook, hari ini, menyatakan kesyukuran susulan keputusan terbabit.

Post a Comment

0 Comments