MAHKAMAH Tinggi Kuching hari ini dilapor mengeluarkan perintah kepada Kerajaan Malaysia supaya usia mengundi diturunkan daripada 21 kepada 18 tahun di seluruh negara menjelang 31 Disember tahun ini.
Memetik laporan Malaysiakini, perintah itu dibuat Pesuruhjaya kehakiman Alexander Liew yang membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh lima anak muda yang dinamakan kumpulan Undi Sarawak semasa prosiding dalam talian.
Melalui tindakan undang-undang yang difailkan pada 3 Mei, lima anak muda itu menggesa kerajaan persekutuan melaksanakan pindaan perlembagaan 2019 untuk menurunkan usia mengundi di seluruh negara menjelang Julai tahun ini.
Tindakan saman itu dilakukan susulan pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 25 Mac lalu yang mengumumkan penangguhan pelaksanaan Undi18, termasuk pendaftaran pemilih automatik, hingga 1 September tahun depan.
Dalam tuntutannya, Undi Sarawak berpendapat bahawa penangguhan pelaksanaan had usia mengundi (Undi 18) akan menafikan hak lebih daripada 125,000 anak muda di Sarawak untuk mengundi dalam pilihan raya negeri.
Tiga responden yang dinamakan dalam semakan kehakiman itu adalah bekas perdana menteri Mahiaddin Md Yasin, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan.
Setakat ini, terdapat dua cabaran tindakan undang-undang yang serupa (di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan di Mahkamah Tinggi Kuching) untuk menggesa kerajaan Perikatan Nasional (PN) melaksanakan pindaan perlembagaan untuk menurunkan usia mengundi.
![]() |
Mahkamah arah turunkan umur mengundi |
Sebagai rekod, Pindaan terhadap artikel 119 Perlembagaan Persekutuan diluluskan ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan dua tahun lalu sebelum penangguhan itu diumumkan ketika PN memerintah.
0 Comments