Lima dari lapan belas perkara dalam MoU bakal dilaksana


SEBANYAK lima daripada 18 perkara yang terkandung dalam Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan Pakatan Harapan (HARAPAN) bakal dilaksanakan.

Perkara itu dimaklumkan Pengarah komunikasi parti KEADILAN, Fahmi Fadzil dalam ciapan di Twitter rasminya.

Lima perkara tersebut ialah pengecualian bayaran faedah moratorium pinjaman bank untuk rakyat B50, mempercepatkan undi18 dan pendaftaran automatik, Rang Undang-Undang (RUU) Anti-Lompat Parti, penambahan RM45 bilion had dana Covid-19 serta peruntukan sama rata ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Kesemua perkara tersebut jelasnya telah pun dipersetujui bersama kerajaan setakat Khamis.

“Lima dari 18 perkara (28 peratus) yang dipersefahami diumum akan dilaksana. 'More to come', insya-ALLAH,” ciapnya.

Kerajaan Persekutuan yang kini diketuai Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob dan pemimpin parti dalam HARAPAN melakar sejarah apabila julung kali memeterai MoU Transformasi dan Kestabilan Politik.

MoU yang dimeterai itu merangkumi enam perkara iaitu Pemerkasaan Pelan Covid-19, Transformasi Pentadbiran dan Pembaharuan Parlimen, Kebebasan Institusi Kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.

Lebih banyak perkara bakal dilaksana
Ia susulan beberapa siri perbincangan di antara kedua-dua pihak sejak akhir bulan lalu.

Ia ditandatangani bersama oleh Perdana Menteri,Ismai Sabri dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta semua ketua parti dalam  gabungan itu iaitu Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Madius Tangau.