Banjir besar: HARAPAN gesa adakan sidang khas

KERAJAAN Persekutuan dikepalai Ismail Sabri Yaakob digesa mengadakan sidang khas parlimen bagi membincangkan isu semasa yang mendesak dihadapi rakyat sekarang terutama berkaitan isu banjir.

Setiausaha Agung Pakatan Harapan (HARAPAN), Saifuddin Nasution Ismail berkata, tempoh kira-kira seminggu lalu rakyat Malaysia khususnya di Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Pahang sangat terkesan akibat bencana banjir.

"Begitu ramai yang telah kehilangan harta benda, malah ada juga orang tersayang," katanya dalam kenyataan.

Banjir besar melanda beberapa negeri pada hujung minggu lalu dengan mengakibatkan pelbagai kemusnahan serta kerugian.

Setakat semalam seramai 39 orang disahkan meninggal dunia di pelbagai negeri akibat bencana tersebut dan ramai yang masih hilang.

Pentadbiran Ismail dikritik setelah dilihat lemah dalam mengurus bencana itu, beberapa menteri yang turut dikecam warganet susulan beberapa tindakan mereka yang menyakitkan hati.

Tidak terkecuali Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun turut dikritik setelah enggan membenarkan usul tergempar bagi membincangkan isu itu di Dewan pada Isnin lalu.

Sementara itu, Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baru itu menambah, semua pihak melihat bagaimana orang awam - termasuk warga asing - bangkit menghulurkan bantuan antara satu sama lain ketika gerak kerja pihak kerajaan tidak berjalan lancar akibat lemahnya penyelarasan di peringkat pusat.

Tegasnya kejadian hujan tidak berhenti selama beberapa hari diikuti kejadian tanah runtuh dan banjir besar seharusnya mengingatkan semua pihak bahawa perubahan iklim itu memang benar dan mampu mendatangkan kesan luar jangka.

Dengan pelbagai isu dan ancaman dialami kini katanya, ia  adalah menjadi pengajaran buat semua pihak. Kerajaan wajar melaksanakan prinsip tadbir urus sosial alam sekitar (ESG) sebagai dasar utama pembangunan.

Ambil ikhtibar dari bencana yang berlaku
"Agar Malaysia tidak ketinggalan maka parlimen perlu segera meneliti segala undang-undang sedia ada berhubung alam sekitar, penjagaan sungai, dan pembangunan bandar yang mampan untuk melihat jauh ke hadapan.

"Saya menggesa agar satu sidang khas parlimen diadakan khusus untuk membahas isu banjir dan kesiapsiagaan jentera kerajaan demi semua ahli keluarga Malaysia yang sangat terkesan," katanya lagi.

Post a Comment

0 Comments