Tubuh suruhanjaya teliti dasar urus bencana - Anwar


KETUA PEMBANGKANG
, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa pentadbiran Ismail Sabri Yaakob menubuhkan sebuah suruhanjaya bagi meneliti semula seluruh dasar dan peranan agensi berkaitan dalam menghadapi serta menguruskan bencana di negara ini.

Kata Anwar, langkah itu bagi memastikan persediaan menghadapi banjir dapat dilaksanakan secara tersusun dan proses membantu rakyat dapat dilaksanakan dengan lebih cepat.

"Harus ada suruhanjaya untuk teliti semula seluruh dasar peranan dan tindakan diambil supaya tidak berulang. Dalam hal ini banjir bukan perkara baharu di Malaysia.

"Jadi semua kena jawab, Menteri Pertahanan, Perdana Menteri dan menteri yang lain, nak pergi buat lawatan VVIP buat apa, itu lawatan bantu orang kerja bukan orang susah.

"Saya masih ingat, semasa saya sebagai Timbalan Perdana Menteri, ketika banjir pada tahun 1995, malam itu juga diadakan Mesyuarat Khas dan buat keputusan, malam itu kita kerah tentera turun.

"(Namun kerajaan Persekutuan yang dipimpin Ismail Sabri) ini tidak... sehari dua hari dan kemudian tidak ada (satu pun) pengarahan yang jelas," tegas Ahli Parlimen Port Dickson itu lagi.," katanya pada Khamis.

Anwar menyorot bencana banjir yang berlaku di Selangor dan beberapa negeri lain hujung minggu lalu.

Dalam kejadian itu mangsa mendakwa bantuan sangat perlahan sehingga menimbulkan kekecewaan dalam kalangan mereka.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) sementara itu berkata, tanggungjawab dalam pengurusan bencana banjir ini bukan sahaja menjadi tanggungjawab kerajaan Persekutuan, tetapi juga peranan kerajaan negeri dan petugas di peringkat daerah.

Pengurusan bencana perlu dikoordinasi dengan baik
"Saya juga tidak bersetuju dengan tindakan pihak tertentu yang menyalahkan agensi penyelamat seperti pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang lewat bertindak.

"Kalau kerajaan bagi arahan cepat dan jelas, mereka (anggota ATM serta JBPM) akan keluar.

"Masalahnya adalah kepimpinan bukan sahaja lembab tapi turut menyebabkan penyaluran makanan lambat sampai," katanya.

Pada Selasa, Ismail Sabri mengakui, terdapat kelemahan dalam pengurusan bencana banjir terutamanya di negeri Selangor.

Post a Comment

0 Comments