SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menjalankan siasatan terhadap Ahli Parlimen Bachok Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz
Gesaan itu dibuat Pengerusi DAP Lim Guan Eng susulan satu laporan di Malaysiakini berhubung surat bertarikh 20 September yang ditandatangani oleh pemimpin PAS itu yang antara lain meminta Majlis Perbandaran Kota Bharu - Bandaraya Islam (MPKB-BRI) menyediakan beberapa kemudahan untuk majlis kenduri perkahwinan anaknya.
Guan Eng dalam satu kenyataan berkata, siasatan perlu dijalankan bagi mengetahui apakah wujud penyalahgunaan kuasa berkaitan majlis peribadi itu.
"SPRM telah menyerbu Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 19 September lalu dipercayai berkaitan projek tebatan banjir.
"Adakah SPRM akan menyiasat Ahli Parlimen PAS Bachok Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz atau menyerbu MPKB kerana salah guna kuasa melibatkan perkahwinan anak perempuannya seperti yang dilakukan SPRM terhadap MBSA," soalnya.
Terdahulu, tular surat permohonan Nik Abduh kepada MPKB-BRI bagi memohon kemudahan termasuk perkhidmatan pengurusan sisa pepejal, kerusi meja, hiasan bunga dan bantuan penguat kuasa bagi kawalan lalu lintas.
Yang Dipertuanya MPKB-BRI Rosnazli Amin berkata, pihaknya menerima surat permohonan berkenaan, namun tidak membuat sebarang keputusan.
"Pejabat saya terima surat tu, (tetapi) saya tak catat luluskan pun," katanya dipetik.
Sementara itu tambah Guan Eng, Rosnazli telah menarik perhatian orang ramai dengan enggan mengesahkan soalan mudah sama ada MPKB telah meluluskan permintaan kerjasama oleh Nik Abduh.
"Permintaan Nik Abduh untuk kerjasama daripada MPKB menimbulkan persoalan merisaukan mengenai salah guna kuasa apabila Nik Abduh menggunakan kepala surat rasminya sebagai Ahli Parlimen Bachok," katanya sambil menegaskan bahawa Nik Abduh sepatutnya menjelaskan apakah yang dimaksudkan sebagai 'meminta kerjasama' daripada MPKB-BRI itu.
"Biasanya perkhidmatan daripada majlis tempatan ini boleh disediakan dengan bayaran atau pada kadar sewa tertentu yang ditawarkan kepada semua. Nik Abduh tidak menawarkan untuk membayar sebarang bentuk bayaran atau kadar sewa dalam surat rasminya.
"Nik Abduh tidak perlu menggunakan kepala surat rasmi dan status ahli parlimen Bachok untuk mendapatkan kerjasama MPKB untuk acara persendirian keluarga yang tidak berkaitan dengan tugas awam kepada pengundinya.
"Sebab itulah SPRM perlu menyiasat Nik Abduh dan sepatutnya menyerbu MPKB untuk melihat sama ada wujud salah guna kuasa oleh Nik Abduh atau sama ada MPKB cuba menutup kerjasama yang diberikan oleh MPKB seperti yang diminta Nik Abduh.Apakah berlaku salah guna kuasa?
"SPRM mesti menunjukkan bahawa ia tidak mengamalkan amalan dua darjat antara MPKB dan MBSA," katanya lagi.
0 Comments