K'jaan mesti giat usaha sebelum beralih ke fasa Endemik - Dr Dzulkefly


PUTRAJAYA digesa mempergiat usaha mengekang wabak Covid-19 sebelum sebarang keputusan dibuat untuk beralih kepada fasa endemik Covid-19 diputuskan.

Bekas Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad dipetik laporan FMT berkata, usaha yang wajar dilaksana adalah dengan memperluas lagi usaha pemberian suntikan vaksin bagi memastikan kadar vaksinasi populasi mencapai 80 peratus menjelang akhir tahun ini.

“Sebarang rancangan serius untuk beralih kepada fasa endemik hanya wajar dilakukan selepas itu,” kata Ahli Parlimen Pakatan Harapan (HARAPAN) itu.

Ahli Parlimen Kuala Selangor itu merujuk beberapa negeri yang mempunyai jumlah kes membimbangkan dan kadar vaksinasi yang perlahan.

Pada 16 Julai, kerajaan memperkenalkan Operasi Lonjakan Kapasiti bagi memastikan semua penduduk dewasa di Kuala Lumpur dan Selangor menerima dos pertama menjelang 1 Ogos.

Walaupun kerajaan berjaya meningkatkan kadar vaksinasi di Lembah Klang, namun beberapa negeri mengalami kelewatan dalam program imunisasi ketika ia mengalami lonjakan kes, kemasukan ke hospital dan kluster baharu. Malah membabitkan kalangan individu yang lengkap dua dos dan penerima dos pertama juga tinggi.

Mengulas perkara itu, Dzulkefly berkata penularan jangkitan daripada mereka yang telah menerima vaksin menyebabkan orang ramai perlu terus mematuhi SOP, terutama dengan kehadiran varian
Delta ketika ini.

Katanya, ia amat penting untuk mengumpul data terperinci yang menunjukkan komobiditi, usia, jantina dan taburan geografi kes terbabit dan jenis vaksin yang diberikan kepada mereka.

Jangan cepat selesa dengan penurunan kes


"Prosedur operasi standard (SOP) masih perlu dikekalkan terutama dengan mengambil kira penularan varian Delta yang berbahaya," tambahnya.

Merujuk penurunan terbaru kes di Lembah Klang, beliau berkata ia tidak boleh dianggap selesa hingga menyebabkan orang ramai kurang berwaspada.

Sejak bulan lalu, angka kes harian di Lembah Klang menunjukkan penurunan yang ketara.

Post a Comment

0 Comments