K'jaan belum mulakan langkah kemuka usul percaya, kata Anwar


BELUM
ada apa-apa tanda usul undi percaya akan diadakan di Parlimen setakat ini, kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presiden KEADILAN itu berkata demikian sebagai merujuk titah Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah pada 18 Ogos lalu supaya perdana menteri baharu perlu mengadakan usul undi percaya di Dewan Rakyat “secepat mungkin” bagi menunjukkan beliau mendapat kepercayaan majoriti Ahli Parlimen semasa Baginda dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Shah menerima menghadapi ketua parti utama pada 17 Ogos lalu.

Tambah Anwar, Sultan Nazrin turut menitahkan undi percaya harus menjadi “first item” ketika Parlimen bersidang semula, yang turut dipersetujui semua ketua parti.

“Ketika pertemuan dengan Agong, Agong sendiri menyebut mesti melalui proses undi percaya.

“Tetapi sampai hari ini, tiada petanda akan diadakan usul undi percaya, malah sejurus selesai pertemuan, Ismail Sabri Yaakob berbisik kepada saya ‘mungkin tak perlu’.

“Saya jawab ini bukan soal perlu tak perlu, ini soal keperluan dasar untuk menguruskan keabsahan kerajaan dan ini dititah oleh Agong dan dipersetujui ketua-ketua parti,” kata Anwar dalam satu Webinar malam semalam.

Parlimen dijadualkan bersidang semula 13 Sept ini, selepas ditunda akibat Ismail menjalani kuarantin kendiri kerana menjadi kontak rapat kes Covid-19.

Sementara itu dipetik laporan Malaysiakini, Anwar menjelaskan bahawa dalam pertemuan dengan perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob baharu-baharu ini, beliau bagi pihak gabungan pembangkang itu menyuarakan kerjasama mungkin berlaku, tetapi tertakluk kepada beberapa perkara dasar.

Katanya, Ismail memberi bayangan beliau seolah-olah berada dalam percaturan politik beberapa individu, termasuk bekas perdana menteri, Muhyiddin.

“Dia bagi bayangan seolah-olah tidak boleh buat apa-apa kerana terpaksa kekalkan (orang) yang lama.

Usul percaya perlu disegerakan dalam Dewan
“Jadi, ini menunjukkan dia seolah-olah duduk di situ atas percaturan politik beberapa orang, termasuk bekas PM, jadi ini bagi saya perkara besar.” katanya.

Anwar turut berkata, tindakan mengekalkan kebanyakan muka lama daripada Kabinet terdahulu yang segelintirnya gagal menjalankan tugas dengan baik menggambarkan ia hanya untuk mengekalkan kuasa tanpa mempedulikan rakyat.