Khalid selar tuduhan salahguna kuasa dilemparkan terhadapnya

 


AHLI PARLIMEN Shah Alam, Khalid Samad membidas dakwaan dia pernah membantu syarikat swasta mendapatkan kelulusan pemindahan satu lot tanah ketika menjadi menteri wilayah persekutuan pada 2019.

Pernyataan itu dibuat susulan dakwaan disiarkan sebuah portal yang didakwa rapat dengan seorang menteri dan sebuah agensi media lain yang kemudian menarik semula laporan berhubung dakwaan kononnya beliau menandatangani surat sokongan untuk sebuah projek.

“Oleh kerana saya tidak tahu projek mana yang dimaksudkan oleh media pro bekas Menteri Ekonomi PH ini, yang kemudian melompat macam katak untuk menjadi Menteri kanan PN, saya tidak boleh memberikan apa-apa penjelasan.

“Jika diberikan butiran secara terperinci tentang surat itu, saya boleh memberikan respons ke atas dakwaan itu dan memberikan penjelasan mengenainya.

“Saya memohon mereka mendedahkan secara terperinci tentang surat itu supaya dapat saya respons.

“Seingat saya, tidak ada sebarang projek atau kontrak yang saya sokong atau luluskan sebagaimana yang dibayangkan,” tegasnya dalam kenyataan.

Walaupun tidak menyebut portal itu secara khusus, Khalid dipercayai merujuk kepada MalaysiaNow.

Malaysiakini dalam laporannya berkata, MalaysiaNow menyiarkan dakwaan itu pada 24 September lalu yang antara lain mendakwa syarikat terbabit menulis surat kepada Khalid enam bulan selepas Pakatan Harapan (HARAPAN) menjadi kerajaan, bagi memohon sebuah plot tanah di Kuala Lumpur untuk projek pembangunan bercampur.

Ia turut mendakwa Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan meluluskan permohonan itu pada Disember 2017 sebelum membatalkannya pada November 2018.

Syarikat itu kemudian didakwa menulis surat secara terus pada Khalid sebulan kemudian, dan Khalid secara peribadi memastikan surat itu "ditandatangani sendiri oleh pembantunya dan datuk bandar".

Sementara itu Khalid mengingatkan agar tuduhan terhadapnya tidak seperti apa yang dilakukan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor berhubung isu pemindahan wang bernilai RM13 juta milik Menteri Besar Incorporated (MBI) Kedah.

“Semoga tragedi yang berlaku kepada Menteri Besar Kedah yang mendakwa Datuk Seri Mukhriz membuat onar, tiba-tiba MB sebelumnya pula yang terkena tidak berulang dalam kes ini,” kata Pengarah Komunikas parti Amanah itu.

Jangan salah lempar tuduhan, kata Khalid
Khalid merujuk dakwaan Sanusi berhubung pemindahan RM13 daripada Menteri Besar Incorporated (MBI) Kedah ke akaun bank luar negara semasa pentadbiran Mukhriz.

Mukhriz mencabar Sanusi agar membuat kenyataan rasmi untuk memperincikan dakwaan itu dan membuat laporan polis.

Nukhriz menurut laporan The Vibes juga berkata dakwaan yang dibuat Sanusi itu membayangkan dakwaan pindahan wang itu berlaku ketika pentadbiran menteri besar sebelumnya, iaitu Ahmad Bashah Md Hanipah.

Sanusi kemudian menjelaskan dia tidak mendakwa Mukhriz terlibat dalam perkara itu.