PERDANA MENTERI, Ismail Sabri Yaakob sekali lagi dianggap tidak serius dalam melakukan reformasi institusi yang dilaungkan.
Pandangan itu dilontarkan bekas Profesor Undang-Undang Perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari susulan rancangan melantik Ahli Parlimen Pontian, Ahmad Maslan sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat bagi mengisi kekosongan kerusi itu.
“Melihat kepada cadangan ini nampaknya reformasi yang dilaungkan itu hanyalah retorik politik dan sekadar meneruskan budaya pimpinan kerajaan sebelumnya,” tambahnya.
Pada 23 Ogos lalu, Azalina Othman Said yang adalah Ahli Parlimen Pengerang meletakkan jawatan sebagai timbalan speaker Dewan Rakyat bagi membolehkan kerajaan dan pembangkang “menetapkan semula” fungsi Dewan Rakyat.
Dalam kenyataan, Azalina menegaskan keperluan Dewan Rakyat berfungsi sebagai “forum persaingan profesional dan kerjasama antara parti mengenai polisi dan urus tadbir negara”.
Media semalam melaporkan bahawa Ahmad Maslan yang berdepan tuduhan di bawah Seksyen 32 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2011 merupakan satu-satunya calon yang dinamakan Umno bagi mengisi kekosongan kerusi ditinggalkan Azalina.
Perkara itu disahkan Ahli Parlimen Padang Rengas, Mohamad Nazri Aziz yang dilapor telah mengadakan pertemuan dengan Ahmad Maslan berhubung pencalonan itu.
Ahmad Maslan juga dilapor telah menyatakan persetujuannya.
Sementara itu kata Aziz Bari, kemuliaan dan ketinggian Parlimen sebagai badan perundangan akan terjejas sekiranya “kluster mahkamah” dilantik sebagai timbalan speaker.
Ahmad Maslan tegasnya perlu melalui proses undang-undang dan tidak diberikan kedudukan serta peranan yang sedemikian penting di Parlimen sehingga dibuktikan tidak bersalah.
“Dalam keghairahan Umno ‘memberi imbuhan’ kepada pimpinan mereka dengan jawatan dalam kerajaan, mereka secara bersahaja dan sengaja membelakangkan bukan sahaja kepentingan rakyat malah mengabaikan teguran dan pesanan Raja-raja Melayu yang mahukan kerajaan baharu ini bersih daripada mereka yang terlibat dengan penyalahgunaan kuasa.
![]() |
Jangan jadikan Parlimen 'bahan jenaka' |
0 Comments