VETERAN politik, Lim Kit Siang menyifatkan beberapa keputusan dibuat pentadbiran Ismail Sabri Yaakob sudah menunjukkan kegagalan.
Dipetik laporan Malaysiadateline, Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, walaupun Naib Presiden Umno itu yang dipilih Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri meminta kabinet dibawahnya membuktikan kemampuan mereka dalam masa 100 hari, namun Ismail sendiri sudah melakukan beberapa tindakan yang mengundang kritikan rakyat.
Kit Siang merujuk perlantikan beberapa pemimpin politik yang terbukti gagal sebelum ini sebagai duta khas bertaraf menteri selain perlantikan mengejutkan bekas perdana menteri Mahiaddin Md Yasin sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara yang bertaraf seorang menteri seperti diumumkan semalam.
"Perlantikan semula Presiden Pas, Abdul Hadi Awang sebagai Duta Khas Timur Tengah, Presiden Progressive Democratic Party, Tiong King Sing (China) dan Sarawak United People’s Party Deputy President Richard Riot (Asia Timur) adalah satu kesilapan yang tidak boleh dimaafkan
"Dengan perlantikan ke empat-empat mereka dengan taraf menteri ini bermakna rakyat negara ini terpaksa membayar gaji dan elaun bertaraf menteri kepada 31 + 4 menteri dan 38 timbalan menteri di samping seorang perdana menteri," katanya dipetik laporan itu.
Sebagai rekod, pengumuman kabinet Ismail sebelum ini turut dikritik warganet kerana menampilkan hampir keseluruhan barisan jemaah menteri kerajaan sebelumnya.
Ismail didakwa 'mengitar semula' menteri dari pentadbiran Mahiaddin yang didakwa sebuah kerajaan gagal susulan kelemahan mereka mengurus pendemik Covid-19.
Rakyat secara amnya tidak meletak harapan besar situasi negara akan bertambah baik walaupun perdana menteri bertukar. Ini kerana ia masih melibatkan kelompok individu yang sama dari pentadbiran Mahiaddin yang merupakan Ahli Parlimen Pagoh - kerajaan yang dianggap gagal itu dimana Ismail adalah timbalannya.
![]() |
Sudah ada tanda pentadbiran Ismail akan gagal |