KENYATAAN Peguam Negara Idrus Harun yang membayangkan perdana menteri Ismail Sabri Yaakob tidak perlu memperolehi keabsahan di Parlimen menerusi undi percaya bercanggah dengan titah Yang di-Pertuan Agong (YDPA), kata Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim.
Bekas Pengerusi KEADILAN Johor itu berkata, alasan Idrus bahawa undi percaya terhadap Ismail boleh menjejaskan kuasa Seri Paduka Baginda tidak dapat diterima kerana titah supaya undi percaya di Dewan Rakyat dengan secepat mungkin dizahirkan Baginda sendiri.
“Kenyataan dari Peguam Negara dilaporkan berkata bahawa undi percaya Perdana Menteri boleh jejaskan kuasa Yang di-Pertuan Agong bercanggah dengan titah Yang di-Pertuan Agong (sendiri).
“Saya tidak bersetuju dengan pandangan Peguam Negara tersebut. Bagi saya, kenyataan YDPA itu adalah jelas dan nyata,” katanya.
Idrus dipetik laporan media sebelum ini berkata, sekiranya pelantikan Ismail masih memerlukan keabsahan oleh mana-mana pihak selain daripada baginda, ini bermakna kuasa mutlak Agong boleh diatasi oleh pihak lain.
Walau bagaimanapun, pada 18 Ogos lalu, Istana Negara mengeluarkan kenyataan, mahukan perdana menteri kesembilan yang dilantik untuk segera mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat bagi mengabsahkan jawatan beliau.
Bagaimanapun, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan bahawa belum ada usaha dari kerajaan untuk membawa usul undi percaya terhadap Ahli Parlimen Bera itu sebagai atur cara pada sesi parlimen akan datang.
Sementara itu menurut Hassan, Idrus sewajarnya menghormati titah Agong agar “dapat membentuk satu konvensyen yang kukuh dari segi Perlembagaan.”
“Kerajaan baru di bawah pimpinan PM ke-9 ini akan kelihatan kukuh dan berwibawa jika ia dapat melepasi ujian undi percaya apabila sidang parlimen bermula.
“Maka tidak wajar dan tidak ada alasan untuk perdana menteri takut dan bimbang membentangkan (undi) percaya yang… telah diusulkan oleh YDPA,” katanya sambil menegaskan bahawa Ismail akan berdepan isu sama dihadapi Mahiaddin md Yasin jika enggan membentangkan usul percaya terhadapnya di Dewan Rakyat sebagaimana dititah Agong.
![]() |
Hassan tolak alasan diberikan Idrus |
“PM ke-9 ini akan dilihat sebagai pemimpin yang takut dengan bayang-bayang sendiri jika beliau enggan membentangkan Undi Percaya terhadap dirinya,” kata Hassan lagi.
0 Comments