Indrani lapor Sanusi ke SPRM lagi



MENTERI BESAR Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor sekali lagi diadukan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan penganugerahan projek pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) kepada sebuah syarikat.

Sebuah NGO dikenali sebagai Pertubuhan Peneraju Insan mendakwa projek itu diberikan kepada syarikat yang dikatakan masih dalam siasatan SPRM dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

"Saya meminta SPRM dan pihak penguatkuasa yang lain segera mengadakan satu siasatan terhadap penganugerahan projek KXP kepada syarikat tersebut.

"Bagaimana, syarikat yang masih dalam siasatan sejak tahun 2017 boleh mendapat projek sebesar itu," kata Setiausaha NGO berkenaan, Indrani Selvakumar dipetik laporan FMT.

Indrani berkata, pada 7 September, dia menerima sampul melalui pos ke alamat rumahnya yang mengandungi 12 dokumen mengenai siasatan terhadap syarikat itu oleh LHDN.

"Saya telah membuat pengesahan dengan LHDN di mana ke semua dokumen yang terima adalah sahih dan seorang pegawai dari LHDN mengesahkan kepada saya bahawa syarikat itu masih dalam siasatan LHDN dan SPRM di bawah AMLA.
 
"Persoalannya, kenapa syarikat ini dipilih untuk projek KXP sedangkan mempunyai rekod siasatan di bawah AMLA," tambahnya.

Beliau sebelumnya membuat laporan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya pagi semalam dan laporan polis pula difailkan di Puchong Jaya berhubung perkara sama pada Khamis.

Sementara itu, Sanusi dalam laporan Malaysiakini hari ini menafikan dakwaan dia telah menganugerahkan projek membangunkan KXP kepada syarikat yang dikatakan masih dalam siasatan SPRM dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Sebaliknya, dia berkata bahawa projek itu diberikan kepada syarikat swasta itu setelah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

"KXP ini dibuat secara pelaburan swasta. Bukan dana kerajaan. Siapa ada duit dan kepakaran yang disyaratkan bolehlah terbabit," katanya dipetik.

Untuk rekod, pada Ogos lalu, Indrani juga membuat laporan kepada SPRM dengan mendakwa Sanusi menyalahgunakan kuasa dalam pemberian sebuah projek berkaitan sektor pelancongan negeri Kedah.

BACA: Muhammad Sanusi terkait kontroversi lagi


Projek bernilai berbilion ringgit yang dikaitkan dengan pembinaan litar lumba di Langkawi itu menurutnya diberikan kepada sebuah syarikat yang dikaitkan dengan seorang tokoh yang telah muflis.

Indrani membuat dakwaan itu berdasarkan pencariannya dengan Jabatan Insolvensi.

Walau bagaimanapun, Sanusi menafikan kerajaan negeri memberikan projek itu kepada syarikat berkenaan.

Sanusi sekali lagi nafi dakwaan terhadapnya
Projek itu menurutnya dibangunkan secara kerjasama antara Open Road Asia Sdn Bhd dengan Permodalan Kedah Berhad (PKB) yang bertindak sebagai pemilik tanah, bukan antara individu dengan individu.

Difahamkan, Sanusi adalah Pengerusi kepada PKB yang merupakan syarikat milik penuh kerajaan negeri.

Post a Comment

0 Comments