Hipokrit jika minta laksana SOP jika Parlimen gagal tunjuk teladan


KEPUTUSAN pentadbiran Parlimen mengehadkan agensi media yang dibenarkan membuat liputan sidang Dewan Rakyat dikritik.

Ia selepas beberapa agensi sebelum ini tidak dibenarkan menghantar wartawan mereka hadir secara fizikal bagi membuat liputan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Majlis Parlimen Keempat Belas di Parlimen, minggu depan.

Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii berkata, keputusan itu melanggar hak wartawan dan peranan media sebagai estet keempat kerajaan.

Katanya, ada cara untuk berfungsi dengan selamat dan Parlimen harus, untuk menjadi contoh, menunjukkan kepada pelbagai sektor industri bahawa sesuatu dapat disesuaikan dengan situasi yang berubah akibat wabak.

Sebelum ini media melaporkan wartawan New Straits Times (NST) dan Utusan Malaysia buat pertama kali sepanjang sejarah penubuhannya dilaporkan tidak akan hadir secara fizikal untuk membuat liputan.

Hanya 16 saluran media dibenarkan untuk menghantar petugas – RTM, Bernama, jabatan penerangan kerajaan, FINAS, TV3, Astro Awani, Berita Harian, Sinar Harian, The Star, The Sun, Sin Chew, Nanyang Siang Pau, Malaysia Nanban, AFP, Malaysiakini dan MalaysiaNow.

Bagaimanapun, sekatan terhadap akhbar utusan kemudiannya ditarik semula. Bagi NST pula statusnya tidak dapat dipastikan.

Pakar media, Gayathry S Venkiteswaran dari Universiti Nottingham Malaysia mempersoalkan tindakan mengehadkan jumlah agensi yang boleh membuat liputan di Parlimen, beliau mempersoalkan apakah pentadbiran Parlimen mengaku bahawa mereka tidak dapat menangani SOP dengan baik?

“Sangat hipokrit untuk meminta sektor ekonomi, sekolah dan komuniti lain untuk melaksanakan dan mematuhi SOP apabila Parlimen sendiri tidak dapat menunjukkan bagaimana ia boleh dilakukan dengan selamat dan berkesan.” katanya.

Tindakan Parlimen itu turut dikritik beberapa pertubuhan mewakili warga media.  

Dalam satu kenyataan bersama, Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ), Gerakan Media Merdeka (Geramm) dan Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) berkata mereka kecewa dengan langkah itu, dan menyifatkannya sebagai menjejaskan kebebasan media.

"Hampir dua tahun sejak bermulanya wabak Covid-19, isu akses tidak sama untuk liputan media masih tidak selesai.

"Organisasi media patut diberi kebebasan untuk membuat liputan sidang Parlimen apabila ia bersambung pada 13 September hingga 12 Oktober ini," kata mereka sambil menggesa Speaker Dewan Rakyat, Azhar Harun memberi penjelasan berhubung isu itu.

Hak pengamal media perlu dipertahankan


Mereka berkata sebarang langkah untuk menyekat liputan oleh organisasi media akan menjejaskan kebebasan media, apatah lagi di saat kepimpinan negara bercakap tentang reformasi institusi dan tadbir urus yang baik.


Tambah mereka, hak media dan mewujudkan persekitaran selamat bagi media menjalankan peranan mereka tanpa campur tangan dan sekatan yang bersifat diskriminasi perlu dilindungi.

Post a Comment

0 Comments