Tawaran Ismail baik, tapi kami akan terus lantang bangkit isu rakyat - Anwar


KETUA PEMBANGKANG di Dewan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim tetap mahukan undi percaya terhadap perdana menteri diadakan “secepat mungkin” walaupun mengalu-alukan tawaran Ismail Sabri Yaakob untuk menambahbaik Parlimen dan pentadbiran kerajaan.

Anwar menambah Gabungan dipimpinnya, melihat bahawa masih wujud keperluan untuk usul itu dibawakan berdasarkan titah Yang di-Pertuan Agong kepada ketua-ketua parti politik sewaktu sesi menghadap di Istana Negara pada 17 Ogos lalu bagi mengabsahkan bahawa Perdana Menteri telah mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Menyentuh mengenai tujuh tawaran Transformasi Parlimen dan Pentadbiran untuk mengembalikan kestabilan politik demi menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara yang dikemuka Ismail sabri Yaakob, Anwar berkata bahawa ia merupakan satu langkah baik.
 
Walaubagaimanapun katanya, proses perbincangan diantara kerajaan dengan pihaknya masih berjalan untuk mencari titik persamaan yang terbaik bagi menangani krisis pandemik Covid-19.

“Keutamaan HARAPAN semestinya berteraskan reformasi Parlimen, reformasi fiskal dan program pro rakyat termasuk moratorium pinjaman bank buat golongan M40 dan B40, dan kebebasan institusi kehakiman.

"Menjaga nyawa dan keselamatan diri rakyat dari ancaman wabak dan membebaskan rakyat dari cengkaman ekonomi berikutan kehilangan pendapatan dan pekerjaan,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, kerajaan bersetuju melaksanakan tujuh tawaran Transformasi Parlimen dan Pentadbiran Kerajaan antaranya Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti dan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun yang akan dibentangkan dalam Persidangan Parlimen Isnin ini.

Ismail berkata, antara lain turut dibentangkan pelaksanaan Undi18 dalam tempoh terdekat dengan satu Rang Undang Undang Pindaan Perlembagaan.

Anwar pada 25 Ogos lalu mengetuai Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menerima jemputan Ismail di Putrajaya.

Dalam pertemuan itu, Anwar menegaskan bahawa Ismail tidak akan berdepan masalah pada pengundian usul percaya terhadapnya sekiranya dia meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan dalam pentadbirannya.

Anwar mahu usul dibawakan selaras titah Agong
Dalam pada itu, Anwar yang juga pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) menegaskan bahawa pihaknya akan terus memainkan peranan sebagai pembangkang dengan menekankan isu tatakelola kerajaan yang baik serta ketegasan membasmi rasuah.

“Wajar ditegaskan tuntutan agar pembangkang diberi layanan setimpal dan akan memainkan peranan sewajarnya dalam menyemak dan mengimbangi kuasa eksekutif. Kami akan sentiasa lantang memperjuangkan keadilan untuk rakyat,” kata Presiden KEADILAN itu.

Post a Comment

0 Comments