Timbalan Speaker sepatutnya individu bebas tuduhan jenayah - BERSIH 2.0



KUMPULAN pendesak pembaharuan pilihan raya, BERSIH 2.0 menyarankan Ahli Parlimen yang dipilih sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat meletak jawatan disandang mereka dalam parti.

Melalu satu kenyataan, kumpulan itu menekankan bahawa peletakan jawatan dalam parti itu penting supaya Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat dilihat benar-benar bebas daripada pengaruh kepartian selain mampu adil.

Melalui langkah itu juga seseorang yang dilantik  dapat menumpukan perhatian terhadap isu di Dewan Rakyat serta menguatkuasakan peraturan mesyuarat tanpa sebarang ketakutan atau kepentingan.

“BERSIH 2.0 ingin bertanya dan menggesa, sama ada Ahmad atau Nga bersedia meletak jawatan atau sekurang-kurangnya mengambil cuti di dalam parti politik masing-masing, jika dilantik menjadi Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

"Kedua-duanya memegang jawatan utama dalam parti mereka,” katanya dalam kenyataan.

Kerajaan difahamkan akan mencalonkan Ahli Parlimen Pontian Ahmad Maslan untuk menggantikan Azalina Othman Said yang meletak jawatannya baru-baru ini, sementara Ahli Parlimen Teluk Intan yang juga bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming pula dicalonkan oleh Pakatan Harapan (HARAPAN).

Ahmad Maslan adalah Setiausaha Agung Umno manakala Nga Kor Ming pula memegang jawatan Pengerusi DAP Perak.

Selain dari kesediaan untuk melepaskan jawatan kepartian, BERSIH 2.0 turut berpandangan bahawa individu yang bakal dilantik kejawatan itu sewajarnya seorang individu yang bersih dari pertuduhan jenayah.

"Selain daripada perlu bersikap adil, speaker dan timbalan speaker juga perlu dilantik daripada kalangan mereka yang tiada rekod jenayah atau rasuah dan berintegriti.
 
“Timbul juga kebimbangan sekiranya Ahmad menggunakan sidang Parlimen yang mulia sebagai alasan untuk menangguhkan perbicaraan mahkamah beliau, yang sekali gus mencemarkan kesucian Parlimen," kata kumpulan itu dalam kenyataan.

Sebagai rekod, ura-ura pencalonan Ahmad Maslan sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat mencetuskan krititikan, ia susulan dia masih menghadapi perbicaraan kerana dituduh gagal mengisytiharkan wang RM2 juta diterima daripada bekas Perdana Menteri, Najib Razak dan memberi pernyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika percakapannya dirakam oleh pegawai penyiasat berhubung cek berkenaan.

Sementara itu tambah mereka, sekarang  adalah waktu paling tepat untuk ahli Dewan Rakyat melantik Yang Dipertua dan timbalannya dengan semangat rentas parti.

Individu dilantik mesti letak jawatan dalam parti


Katanya, jawatan mulia itu tidak harus dilihat sebagai monopoli parti dalam kerajaan, lebih-lebih lagi untuk menunjukkan kekuasaannya terhadap parti pembangkang yang juga sebahagian daripada Dewan Rakyat.


“Sebaliknya, pelantikan Yang Dipertua dan timbalannya harus bersemangat rentas parti untuk memperkasakan Parlimen dan menjadikan Parlimen lebih bebas untuk menyemak dan mengimbang eksekutif.” kata kumpulan itu lagi.

Post a Comment

0 Comments