Farhash nak lawan nama besar pada PRU15


PENGERUSI Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak membuat pengesahan bakal bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen di negeri ini pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bercakap kepada pemberita selepas hadir ke Program Jelajah Peduli di perkarangan Pejabat parti itu di Ipoh, farhash menyatakan hasrat untuk bertanding di kawasan yang ditandingi oleh nama-nama besar.

Ia termasuk kawasan dimenangi Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang juga Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu atau Parlimen Kuala Kangsar yang kini disandang Mastura Mohd Yazid yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

"Sebagai pengerusi negeri saya telah berbincang dengan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beliau mencadangkan dua, tiga tempat untuk bertanding tetapi masih terlalu awal untuk membuat keputusan. Kami masih perlu berbincang dengan komponen parti.

"Ada cadangan untuk berlawan dengan Peja (Ahmad Faizal) di salah satu kawasan DUN yang kalau dia pergi DUN kita lawanlah. Saya akan lawan calon heavyweight (nama besar). Yang mana ada heavyweight kita akan pergi kecuali Bagan Datuk itu terlalu heavyweight," kata Setiausaha Politik kepada Anwar itu.

Sementara itu Farhash memaklumkan bahawa gerak kerja untuk pilihan raya telah dimulakan pihaknya.

Ketika mengulas ura-ura bahawa beliau akan dinamakan sebagai calon Menteri Besar Perak sekiranya gabungan itu sekali lagi menguasai negeri itu, Farhash berkata ia bukan isu yang terlalu penting berbanding gerak kerja menawan kembali Perakyang kini menjadi keutamaan Pakatan Harapan (HARAPAN).

Sebelumny Timbalan Pengerusi KEADILAN Perak, MA Tinagaran berkata, Farhash Wafa Salvador sememangnya dinamakan calon kejawatan itu.

Farhash pemimpin muda berpontensi
Kepimpinan Farhash Wafa Salvador dalam KEADILAN Perak jelasnya berjaya menarik ramai keahlian golongan muda menyertai parti itu.

Ia terbukti apabila KEADILAN Perak mempunyai pertambahan keahlian melebihi 85,000 manakala lebih 600 ranting KEADILAN berjaya ditubuhkan semenjak Farhash mempengerusikan parti itu.

"Kita akan menonjolkan bakat baharu dan Farhash orang yang sesuai untuk ditawarkan mengetuai negeri ini," katanya.

Post a Comment

0 Comments