SIKAP berdiam diri Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun berhubung situasi dihadapi pelajar, Ain Husniza Saiful Nizam dipersoalkan.
DAP Pulau Pinang melalui Setiausahanya Lim Hui Ying berkata sikap berdiam diri Ketua Srikandi parti Bersatu itu amat memalukan.
Rina sebagai menteri berkaitan tegasnya sepatutnya boleh campur tangan dalam isu dihadapi pelajar berusia 17 tahun berkenaan, namun memilih untuk berdiam diri.
"Rina perlu membuat pendirian mengenai situasi yang dihadapi oleh Ain.
"Ain adalah anak muda dan generasinya akan menjadi pemimpin negara masa depan. Sikap tidak peduli menteri hanya memberi contoh buruk kepada masa depan mereka," katanya menerusi satu kenyataan pada Ahad.
Hui Ying sebelumnya mengulas situasi Ain yang kini sedang berdepan dengan tuntutan mahkamah sebanyak RM1 juta yang difailkan guru sekolahnya bersabit isu gurauan rogol selain disiasat oleh polis atas dakwaan menghina dengan sengaja.
Hui Ying berkata, kerajaan melalui agensi berkaitan seharusnya mendampingi Ain kerana menjadi mangsa dalam isu yang didedahkannya dan bukan hanya mengatakan masalah itu tidak boleh dianggap remeh dan tindakan tegas akan diambil.
"Mengapa Rina masih berdiam diri dan tidak melakukan apa-apa?," soalnya.
Sementara itu, Wanita Pakatan Harapan (HARAPAN) Negeri Sembilan menyatakan solidariti terhadap Ain.
Ketuanya, Nicole Tan berkata, pihaknya sangat kecewa apabila mengetahui Ain Husniza yang memberi maklumat dengan mendedahkan jenaka rogol tidak senonoh di sekolah itu, kini berdepan saman oleh gurunya.
"Walaupun Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mendakwa tindakan telah diambil terhadap guru itu dengan memindahkannya ke Jabatan Pendidikan negeri, tetapi Ain nampaknya menghadapi masalah apabila menerima notis tuntutan daripada peguam guru tersebut.
"Mengapa pemberi maklumat yang dihukum kerana bersuara, sedangkan pelaku tidak menerima hukuman? Kita seolah-olah tidak menyokong pelajar tersebut tetapi 'memaafkan' pula perbuatan guru itu," katanya dalam satu kenyataan .
![]() |
Ain seolah-olah dihukum kerana keberanian bersuara |
"Malangnya Ain yang masih remaja itu seolah-olahnya dihukum kerana tindakan berani bersuaranya itu," tegasnya.
0 Comments